MOHAIYANI bergambar bersama pelajar sekolah di Bali sempena program larian Maybank Bali Marathon Antarabangsa 2018.
Husain Jahit
husain@hmetro.com.my

Sempena program larian Maybank Bali Marathon (MBM) Antarabangsa anjuran PT Bank Maybank Indonesia (Maybank Indonesia) yang berlangsung di pulau peranginan terkemuka, Bali pada 7 dan 8 September lalu, satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut dilaksanakan.

Program CSR bagi komuniti Bali dan Lombok itu adalah sumbangan berupa pelbagai barangan keperluan persekolahan bagi pelajar dan guru di 43 sekolah yang berada di sepanjang laluan larian membabitkan 4,500 pelajar dan 172 guru. Sementara bantuan kewangan pula bagi masyarakat Lombok yang dilanda musibah gempa bumi, baru-baru ini.

Sumbangan disampaikan Presiden Pengarah Maybank Indonesia, Taswin Zakaria bersama Pengerusi Kumpulan Maybank Datuk Mohaiyani Shamsudin kepada wakil pejabat pemerintah daerah dan penerima manfaat, pada hari pendaftaran serta pengambilan pek perlumbaan di Taman Baghawan, Benoa, Bali.

Pada masa sama, Maybank Indonesia turut memberi kesempatan untuk menampilkan karya kraf tangan tenun melalui program Maybank Women Eco Weavers dan karya golongan kurang upaya (OKU) yang mengikuti program Memperkaya Ekonomi bagi OKU. Ia turut dikenali dengan program RISE (Reach Independence & Sustainable Entrepreneurship).

Malah, seramai 52 OKU turut berlumba dalam MBM bagi kategori kerusi roda sejauh lima kilometer bagi memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama menikmati suasana perlumbaan maraton antarabangsa.


ANTARA wakil masyarakat OKU yang menyertai larian Maybank Bali Marathon Antarabangsa 2018 bagi kategori kerusi roda.

Menurut Taswin, program CSR Maybank Indonesia di Bali sudah bermula pada 2012 iaitu sejak kali pertama perlumbaan maraton Maybank Bali dianjurkan yang selaras dengan misi perkhidmatan kewangan insan.

“Ia adalah hasil hubungan baik yang sudah terjalin antara Maybank Indonesia dengan Bali. Inisiatif ini juga menjadi usaha positif kami untuk berkongsi kekayaan dalam mengembang dan memperkasakan masyarakat, khususnya pada tahun ini yang disasarkan kepada golongan muda serta koperasi di Bali,” katanya.

Katanya, Maybank Indonesia menyumbang dana berjumlah Rp350 juta (kira-kira RM1.1 juta) bagi program membangunkan semula Lombok melalui badan bukan kerajaan MERCY dan Pos Keadilan Peduli Umat (PKPU).

Sebelum itu, Maybank Indonesia sudah menyalurkan sumbangan kebajikan untuk membantu korban gempa di Lombok melalui Unit Usaha Syariah sebanyak Rp130 juta (RM406,000) dan tambahan sebanyak Rp50 juta (RM156,000) diserahkan kepada Pemerintah Provinsi NTB.


ANTARA pelajar dan guru dari 43 sekolah di Bali yang menerima bantuan persekolahan sumbangan Maybank Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 6:59 AM