JENAKA bersahaja Armen mencuit hati penonton.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

Keletah lucu badut dan kelincahan pemain akrobatik ketika melakukan aksi ekstrem cukup menghiburkan. Tidak hairanlah jika ada individu yang sanggup membelanjakan hingga ratusan ringgit bagi menyaksikan pertunjukan sarkas dengan lebih dekat.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan pertunjukan sarkas masih relevan sehingga ke hari ini dan mempunyai kelompok peminat tersendiri meskipun banyak destinasi lain yang boleh dikunjungi seisi keluarga pada hujung minggu.

Namun, di sebalik senyuman diukir penghibur sarkas ketika mengadakan persembahan, tidak ramai mengetahui kepayahan dilalui mereka demi menghiburkan penonton dari serata pelosok dunia.

Tidak hanya bersandarkan bakat semata-mata tetapi kerjaya sebagai penghibur sarkas memerlukan pengalaman yang luas dan kebijaksanaan mereka untuk menguasai pentas ketika beraksi di hadapan ribuan penonton.

Berkongsi pengalaman sepanjang 30 tahun di pentas sarkas, Armen Asiryants berkata, bukan mudah untuk membawakan karakter badut dan membuatkan penonton ketawa dengan jenaka disampaikan.

Bagaimanapun, bapa kepada lima anak itu berkata, pengalaman dan persediaan yang dilakukan banyak membantunya tampil bersahaja ketika di pentas.

“Saya didedahkan dengan pertunjukan sarkas sejak berumur tujuh tahun, namun mendapat pendidikan formal di Moscow Turkis School.

“Di pusat pengajian berkenaan, saya diajar pelbagai skil oleh tenaga pengajar profesional dan paling penting, cara menghiburkan penonton.

“Memandangkan cita-cita untuk bergelar penghibur sarkas, saya nekad menjadikan badut sebagai kerjaya sepenuh masa selepas tamat pengajian,” katanya.


ARMEN mengajak penonton untuk turut sama bermain permainan di atas pentas.

Armen berkata, cabaran sebagai badut adalah menyampaikan jenaka secara bersahaja supaya tidak hambar dan kelihatan seperti di buat-dibuat.

Menyedari perkara itu, Armen memberi sepenuh komitmen dengan tidak sekadar membuat latihan sebagai persediaan sebaliknya mengambil inisiatif lain bagi mendapatkan ilham untuk membuat persembahan.

“Pekerjaan ini nampak mudah namun hakikatnya tidak begitu kerana perlu berfikir di luar kotak selain menonjolkan sisi periang ketika membuat persembahan sedangkan saya sebenarnya seorang yang serius

“Jadi, bagi mendapatkan idea, saya suka mengambil inspirasi dengan melihat gelagat individu sekeliling. Antaranya dengan ke tadika kerana di situ saya berpeluang melihat ragam dan memahami karakter serta belajar menghiburkan kanak-kanak yang juga sebahagian daripada penonton di sarkas,” katanya.


AKSI bersahaja pejalan kaki wayar tinggi.

Sementara itu, ahli jugel dari Russia, Semion Krachinov, 31, berkata, kemunculan sulungnya di pentas sarkas adalah ketika berumur 16 tahun.

Semion berkata, pembabitannya dalam bidang itu didorong rasa minat dan keinginan kuat untuk menguasai kemahiran menimbang bola dan belantan yang dipelajarinya sendiri sejak berumur tujuh tahun.

“Ibu dan ayah saya juga penghibur di sarkas dan secara tidak langsung, saya diberi pendedahan sejak kecil lagi. Mungkin daripada situ, timbul minat untuk mengikut jejak langkah mereka.

“Namun, itu tidak memberi kelebihan kepada saya kerana saya tetap perlu bermula dari bawah untuk bertapak dalam bidang ini.

“Malah, tanpa latihan konsisten, belum tentu saya dapat menguasai kemahiran itu. Walaupun sudah mahir, saya tetap berlatih dan menjadi satu kemestian untuk melakukan rutin berkenaan setiap kali bangun dari tidur,” katanya.


AKSI Semion ketika melakukan imbangan bola.

Meskipun berpengalaman, Semion berkata, dia tetap tidak dapat lari daripada membuat kesilapan ketika beraksi di pentas.

Namun, dia menganggap itu sebagai perkara biasa kerana menyedari pelbagai kemungkinan boleh berlaku ketika persembahan secara langsung.

“Ketika di atas pentas, saya perlu fokus, pantas berfikir dan sentiasa meletakkan penonton sebagai keutamaan. Ia penting supaya penonton terhibur dan rasa berbaloi menyaksikan persembahan yang saya lakukan.

“Cabarannya adalah untuk kelihatan sentiasa bertenaga tetapi minat mendorong saya untuk terus beraksi sehingga ke hari ini,” katanya.


PEJALAN kaki wayar tinggi mempamerkan kebolehannya.

Semion berkata, walaupun dunia kini memasuki era digital, sambutan terhadap pertunjukan sarkas masih memberangsangkan dan ia menjadikannya bersemangat untuk terus bergelar penghibur.

Lebih mengharukan apabila masih diberi peluang dan kepercayaan membuat persembahan di pelbagai negara serata dunia.

“Pekerjaan ini memerlukan pengorbanan besar kerana memaksa saya berjauhan dengan keluarga untuk jangka masa yang lama demi memenuhi undangan persembahan.

“Disebabkan itu, minat dan kesungguhan perlu ada kerana pekerjaan ini menuntut kita mengembara ke pelbagai destinasi dan bukannya bekerja mengikut waktu pejabat.

“Bagi saya, pengalaman ini amat berharga kerana selain menghiburkan orang ramai, saya berpeluang mengenali budaya dan masyarakat dari negara lain serta menambah kenalan baru,” katanya.

Armen dan Semion adalah antara penghibur yang terbabit dalam menjayakan The Moscow Circus Tour of Malaysia 2018/19 yang julung kali diadakan di negara ini.


PERSEMBAHAN tarian terapung memeriahkan pertunjukan The Moscow Circus Tour of Malaysia 2018/19.

Pertunjukan ilham daripada Penerbit Eksekutif Moscow Circus Datuk Sri G Radakrishnan dan Yahna SG, bersama penerbit Kenneth Lee serta Victor Pilipovic itu membabitkan kumpulan sarkas terkenal dari Moscow yang dijangka mengadakan siri persembahan selama lapan bulan.

Siri pertunjukan pertama sudah berlangsung dengan jayanya pada 10 Ogos hingga 2 September lalu. Kini, siri jelajah pertunjukan diteruskan di ruang parkir Pusat Beli-Belah Queensbay Mall, Pulau Pinang bermula 13 hingga 30 September depan sebelum ke lokasi seterusnya iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Batu Pahat, Ipoh, Kuantan dan Klang, Selangor.


AKSI akrobatik antara yang menjadi tarikan penonton.

Persembahan itu menawarkan harga serendah RM50 hingga RM280 dan ia antara aktiviti yang diadakan pihak penganjur bagi mengumpulkan dana Tabung Harapan yang dijangka dapat meraih hingga RM1 juta.

Antara yang menarik dalam pertunjukan sarkas berkenaan termasuk persembahan tarian terapung, pejalan kaki wayar tinggi yang mendebarkan, artis trapez dan aksi akrobatik Swing Russia.


ANTARA penghibur yang menjayakan pertunjukan sarkas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:45 AM