Nor 'Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Kota metropolitan Kuala Lumpur sentiasa menjadi lokasi pilihan anak muda dari desa untuk berhijrah dan mencuba nasib mendapatkan pekerjaan.

Mereka menyangka kehidupan di kota yang dianggap sebagai lubuk rezeki itu mudah dan indah belaka.

Hakikatnya, ia bukan seperti disangka kerana banyak pancaroba sedang menanti mereka dan jika tidak kuat mengharunginya boleh kecundang di tengah jalan.

Bagi yang melihat ujian itu dari sudut positif tentunya akan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk lebih berusaha hingga berjaya.

Begitu juga pelukis Hafiz Azizi Ahmad Saad, dia tidak terkecuali berhadapan ujian berkenaan apabila gagal mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dimilikinya sewaktu merantau di ibu kota.

Semua ‘warna-warni’ itu dilakarkan dalam karyanya berjudul Meniti di Titian Gantung yang dipamerkan di Pameran Liku-Liku - Catatan Rona Kotaraya di Balai Seni Negara.

Lukisan itu satu daripada 10 kerja seninya yang dipamerkan dalam pameran berkenaan dan turut disertai seorang lagi pelukis, Nicholas Choong.


AHMAD Fahmi (dua dari kanan) menghayati sebuah lukisan dalam pameran.

Pameran yang berlangsung dari 3 hingga 23 September itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Hafiz Azizi berkata, karya yang dihasilkan menggunakan minyak di atas kanvas dan genre impresionisme itu memaparkan imej titian gantung pada kedudukan tinggi serta bangunan pencakar langit.

“Keberanian perlu ada untuk meniti supaya dapat melepasi keseluruhan titian berkenaan. Begitulah juga dengan kehidupan yang keberanian dan keyakinan diri menjadi elemen penting untuk berjaya,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, dia juga mencabar diri melakukan dua pekerjaan dalam satu masa dan berasa dihargai apabila karyanya terjual.


HAFIZ mempamerkan 10 karya dalam pameran itu.

Sementara itu Ahmad Fahmi berkata, beliau senada dengan pendapat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa seni dan budaya mempunyai kuasa yang cukup besar kerana menjadi ukuran ketamadunan bangsa serta negara.

“Ia memberi impak yang tinggi terhadap perjalanan seni visual di negara ini dan penting untuk masa depan anak muda serta negara.

“Perlu ada dasar untuk bantu institusi seperti Balai Seni Negara menyimpan koleksi berharga karya seni negara,” katanya.

Katanya, ini untuk memastikan karya berharga terutama hasil kerja pelukis veteran dapat dipelihara.


PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang datang ke Pameran Liku-Liku.

PAMERAN LIKU-LIKU - CATATAN RONA KOTARAYA

• ARTIS: 2

• KARYA: 35

• TARIKH: Dari 3 hingga 23 September 2018

• MASA: 10 pagi hingga 6 petang

• TEMPAT: Balai Seni Negara, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

• LAMAN WEB: www.artgallery.gov.my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:29 AM