NIRMALAH (kiri) dan Dr Teh bersama penapis air yang akan dipasang di lima perkampungan Orang Asli di Tasik Chini, Pahang.
Nor 'Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Mereka bergantung kepada sumber air perigi buatan yang sudah tercemar dengan bakteria selain warnanya keruh dan berbau untuk kegunaan harian termasuk sebagai air minuman.

Keadaan itu menyebabkan pengguna air berkenaan menderita mengalami masalah kesihatan seperti kegatalan kulit, cirit-birit dan muntah.

Itulah yang dilalui penduduk lima perkampungan Orang Asli di Tasik Chini, Pahang sejak sekian lama disebabkan ketiadaan bekalan air bersih di kampung mereka.

Kampung terbabit ialah Kampung Tanjung, Kampung Keralik, Kampung Chak, Kampung Pulau Maslang dan Kampung Patah Jelutong. Bagaimanapun, penderitaan penduduk berkenaan bakal berakhir apabila Nestle Malaysia bekerjasama dengan Yayasan Keamanan Global melancarkan projek 'Safe Water, Safe Communities'.

Projek itu bertujuan membekalkan air bersih kepada golongan memerlukan menerusi pemasangan sistem penapis air yang berupaya membekalkan air bersih kepada lebih 650 penduduk.

Kerja pemasangan penapis air terbabit akan dilakukan bermula dari bulan ini hingga Disember depan.

Sistem penapisan air yang menggunakan teknologi Swiss itu diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ia mampu membasmi bakteria dalam menyediakan bekalan air bersih yang selamat serta bebas bahan kimia kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Keamanan Global Dr Teh Su Thye berkata, kajian makmal yang dilakukan ke atas air berkenaan menunjukkan ia sangat berbahaya kepada manusia kerana mengandungi bahan memudaratkan seperti bakteria E-coli, sedimen pasir, lumut dan minyak yang boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun, katanya, penduduk kawasan terbabit terpaksa menggunakan air itu kerana mereka tiada pilihan lain selain kesukaran mendapatkan bekalan air bersih.


PELATIH Yayasan Keamanan Global, Annisa Syafiqah Asan Ali menunjukkan air yang ditapis (kiri) dan air belum ditapis.

"Kita lihat bagaimana penduduk mengambil inisiatif membersihkan air itu dengan cara tersendiri iaitu menggunakan kain untuk menapis air berkenaan.

"Namun air ini tetap tidak bersih kerana masih mengandungi bahaya dan tidak sesuai untuk kegunaan harian," katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, projek terbabit akan membekalkan penapis air kepada setiap rumah dan mereka akan menyelenggarakan sendiri peralatan itu kerana prosesnya mudah.

"Penapis air ini boleh memproses kira-kira 430 liter air dan boleh digunakan selama lima tahun. Kami menjalankan projek yang sama di tiga negeri lain iaitu Perak, Sarawak dan Sabah tetapi hanya di Pahang yang membabitkan kerjasama dengan Nestle," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia Nirmalah Thurai berkata, keperluan mendapatkan bekalan air bersih adalah antara hak asasi manusia.

"Namun, bagi penduduk di kawasan pedalaman, hak itu dinafikan kerana faktor lokasi penempatan mereka yang terpencil. Kerjasama ini membolehkan kami meningkatkan kualiti hidup mereka dengan membekalkan air bersih secara lestari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:14 AM