SERI Intan menunjukkan lukisan dihasilkannya.
Mohammad Ishak
rencana@hmetro.com.my

Lukisan al-Qalam adalah lukisan spiritual dan rohani yang dilakarkan mengikut teknik menggambarkan hasil kerja seni serta kreativiti.

Ia dizahirkan untuk meluahkan perasaan berbentuk imej dengan menggunakan media kering atau warna yang minimum.

Seni lukisan ini lanjutan daripada kegiatan melakar sebagai satu proses menghasilkan imej untuk luahan perasaan secara spontan.

Ia juga proses awal berbentuk lakaran ringkas bagi merakamkan informasi visual kepada kegiatan lain termasuk catan, cetakan, seni grafik, arca, kolaj dan montaj.

Kreativiti pelukisnya, Datin Seri Intan Osman, 46, yang menghasilkan seni lukisan al-Qalam sememangnya jarang dimiliki orang lain kerana ia menterjemahkan lukisan yang berkait rapat dengan naluri dan kehidupan manusia.

Berkelulusan Sarjana Agama Strata dari Universiti Islam Sunan Kali Jaga, Jogjakarta, Indonesia, beliau mula mengasah bakat dalam bidang seni lukisan ketika berusia 30 tahun kerana minat dalam bidang berkenaan.

Beliau menumpukan kerjaya sepenuh masa dalam bidang yang diceburi sebagai pelukis untuk menyebarkan ilmu kerohanian berasaskan lukisan.

Menurut Intan, lukisan dan kerohanian berkait rapat dengan konteks kehidupan manusia sama ada dalam keadaan sedar atau tidak.

“Lukisan ini dikatakan mempunyai ramuan tersendiri daripada 1,001 penawar dalam bentuk zat dan teori untuk merawat pelbagai masalah kerohanian dalam era kehidupan zaman moden.

“Hasil seni saya lebih banyak bertumpu kepada pembentukan rohani yang diilhamkan ketika berhadapan dengan masyarakat khasnya kehendak pelanggan sendiri,” katanya.

Katanya, kadangkala tidak ramai memahami corak dan bentuk seni lukisannya tetapi bagi mereka yang boleh menterjemahkan maksudnya ia dapat dihayati dengan mudah.


SENTUHAN tangan Intan boleh memukau sesiapa saja yang melihatnya

“Saya mengambil masa antara dua dan lima jam sehari untuk menghasilkan setiap lukisan dan bergantung kepada bentuk lukisan yang dihasilkan.

Seri Intan berkata, antara lukisannya yang mendapat sambutan ialah munawir, barakah, hawa, fitrah, ratna, rajawali sakti, bantera noh, sanjana dan makrifat.

“Lukisan al-Qalam tidak seperti lukisan biasa sebaliknya ia adalah seni yang hidup dan berfungsi sebagai penyuluh jalan ke arah memperkasakan iman.

“Saya berasa puas sekiranya karya dihasilkan difahami oleh mereka yang melihatnya,” katanya,

Meskipun namanya tidak sebaris dengan pelukis tersohor, ia satu pencapaian membanggakan apabila pernah menjual karya yang harganya mencecah ratusan ribu ringgit.

Selain itu, Seri Intan turut berharap karyanya dapat menembusi pasaran antarabangsa pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 8:59 AM