SUKARELAWAN menyiapkan madrasah berkenaan dalam masa dua minggu.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Tiada kemahiran dan pengalaman dalam kerja pembinaan namun 30 sukarelawan ini mampu membina asrama lelaki sebuah madrasah di Kampung Toel Toutueng di wilayah Sihanoukville, Kemboja.

Biarpun terpaksa berpanas di bawah terik mentari, mereka sanggup melakukannya demi berbakti kepada madrasah berkenaan bagi memastikan muridnya dapat menuntut ilmu dalam keadaan selesa.

Kejayaan itu hasil bimbingan empat pensyarah Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya (UM) yang turut serta dalam Misi Kemanusiaan Antarabangsa Kemboja 4.0, baru-baru ini.

Asrama yang dibina menggunakan kayu itu mampu memuatkan kira-kira 35 murid dalam satu-satu masa membabitkan kos pembinaan dianggarkan RM16,000.


PENDUDUK kampung menyimpan tayar kenderaan sebagai alas lantai madrasah.

Tidak semua berpeluang merasai pengalaman dilalui sukarelawan itu yang juga penuntut pelbagai fakulti di UM.

Pengarah Misi Kemanusiaan Antarabangsa Kemboja 4.0, Muhammad Daniel Mohamad Rashid berkata, sebelum ini murid terbabit terpaksa menggunakan madrasah murid perempuan yang dibina beberapa tahun lalu.

“Ruang itu terhad menyebabkan mereka belajar dalam keadaan yang kurang selesa. Ini akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran mereka serta kurang memahami apa yang dipelajari,” katanya kepada Nuansa.


TIGA puluh sukarelawan membina madrasah lelaki di Kampung Toel Toutueng, Kemboja.

Pihaknya turut melengkapkan kemudahan asrama berkenaan dengan memasang lampu solar. Kemudahan itu turut dinikmati penduduk kampung.

“Kami juga mengadakan aktiviti lain seperti kelas akademik iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Geografi dan Sains untuk memupuk minat murid terhadap pelajaran.

“Kami mahu mereka sedar pendidikan sangat penting untuk pembangunan diri, keluarga dan negara dalam mencapai kemajuan,” katanya.

Beliau berkata, program anjuran Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (Sekrum) itu adalah kesinambungan daripada beberapa misi sebelum ini di lokasi sama.


MADRASAH lelaki selepas siap dibina.

Katanya, tiga kampung iaitu Kampung Toel Toutueng, Suncaj dan Andhong Thma menjadi fokus utama dalam misi berkenaan.

“Objektif program ini antaranya untuk memberi pendedahan kepada sukarelawan UM menguruskan program kesukarelawanan di peringkat antarabangsa selain meningkatkan kemahiran insaniah.

“Misi ini untuk membantu meningkatkan taraf hidup penduduk Kemboja di kawasan kampung itu dalam aspek pendidikan, komuniti, keusahawanan, kesihatan, alam sekitar dan infrastruktur,” katanya.


SUKARELAWAN bersama penduduk kampung sempena Misi Kemanusiaan Antarabangsa Kemboja 4.0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 4:19 AM