DR Xavier bersama pelatih yang menerima sijil.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Empat puluh lima hari tidak berjumpa isteri kerana menjalani latihan lapangan di dalam Hutan Bukit Hujan di Kedah dan tidur malam hanya dua jam menjelang peperiksaan.

Itu pengorbanan dilakukan lelaki ini ketika mengikuti kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan Sesi 2017/2018 selama setahun di Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN), Kepong.

Bagaimanapun, pengorbanannya terbalas apabila membolot tiga anugerah pada Majlis Penyampaian Sijil Perhutanan Pengawas Hutan Sesi 2017/2018.

Anugerah diterimanya ialah Pelatih Terbaik Keseluruhan, Pelatih Terbaik di Lapangan dan Pelatih Terbaik Akademik yang disampaikan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Azrin Ahmad, 39, yang juga pemandu Pejabat Hutan Dungun, Terengganu mengikuti kursus berkenaan selama tujuh tahun kerana minat mendalamnya dengan tugas sebagai pengawas hutan.

Beliau berkata, ini kerana tugas itu banyak mendedahkannya kepada hutan sehingga membuatkannya jatuh cinta dengan keindahan khazanah alam.

“Saya sudah membuat permohonan jawatan ini (pengawas hutan) dan berharap ia berjaya. Tugas ini agak mencabar seperti melakukan penandaan sempadan kerja, menanda pokok dan membuat bancian pokok sebelum serta selepas penebangan.

“Namun sebenarnya ia adalah tugas yang sangat menarik dan pengalaman ini tidak semua orang boleh dapat,” katanya yang turut berkongsi kejayaan bersama isterinya, Haizura Hariffin, 33.

Katanya, pembabitannya dalam kerjaya itu adalah mengikut jejak langkah bapa mentuanya, Hariffin Bakar, 62, yang sebelum ini juga bertugas sebagai pengawas hutan di Dungun, Terengganu.


AZRIN (dua dari kanan) bersama pelatih lain yang menerima sijil.

Azrin antara 88 penerima sijil yang terdiri daripada 69 pelatih lelaki dan selebihnya adalah pelatih wanita.

Sementara itu Dr Xavier berkata, FORTRAIN sudah berjaya melahirkan 5,598 graduan terlatih dalam aspek pelaksanaan aktiviti perhutanan di lapangan dan pejabat sejak ditubuhkan pada 1926.

“Ini membuktikan FORTRAIN masih kekal relevan dalam mengeluarkan sumber tenaga kerja bagi sektor perhutanan.

“Peranan mereka amat penting dalam memantau dan memastikan keadaan hutan sentiasa terpelihara demi kepentingan alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, projek pembangunan pembinaan dua blok asrama baru di FORTRAIN bernilai RM14 juta akan dilaksanakan tahun depan.

Jelasnya, asrama terbabit mampu menempatkan 200 pelatih dengan dilengkapi kemudahan asrama yang lebih kondusif dan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 3:59 AM