KAMPUNG Lemoi terbabit dalam program Integrasi Vortex Hidro dan Aktiviti Ekonomi Masyarakat Orang Asli.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Hidro vortex adalah satu sistem digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik menggunakan air dengan kos yang murah dan tidak mencemarkan alam sekitar.

Sistem itu dibangunkan saintis dari Switzerland, Bertrand Piccard pada 2010 yang berupaya menjana tenaga elektrik hingga 15 kilowatts (kw).

Ia turut digunakan dalam menghasilkan bekalan elektrik kepada masyarakat Orang Asli Kadagaya di kawasan pedalaman di Peru, Amerika Selatan.


LAKARAN teknikal hidro vortex.

Sistem hidro vortex ini berbeza dengan kaedah konvensional hidro kerana ia tidak memerlukan kecuraman saluran air yang tinggi.

Bagaimanapun, ia menggunakan konsep putaran pusaran air disalurkan daripada sebuah empangan dibina yang akan memusingkan turbin untuk menjana elektrik dalam tempoh 24 jam sehari.

Melihat kepada keberkesanan sistem itu, mendorong sepasukan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membina sistem terbabit di Perkampungan Orang Asli di Kampung Lemoi, Pos Lemoi, Cameron Highlands, Pahang.


PENGARAH JAKOA Pahang Johari Alwi (tengah) melancarkan hidro vortex.

Projek yang dimulakan pada November 2016 itu dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun pada 15 Ogos lalu.

Ia menerusi program Integrasi Vortex Hidro dan Aktiviti Ekonomi Masyarakat Orang Asli yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan pusat dan negeri, beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lebih 20 penyelidik terbabit dalam projek itu yakni daripada Pusat Jaringan Komuniti dan Industri, Azman Hashim International Business School, Sekolah Dua Kejuruteraan Awam, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, UTM Razak School of Engineering and Advance Technology.

Turut serta ialah penyelidik dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Fakulti Pertanian serta Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia.


PERCUBAAN sistem hidro vortex.

Ia adalah projek komuniti yang memberi penekanan kepada faktor alam sekitar, ekonomi, sosial, teknologi dan pendidikan.

Ketua Projeknya Prof Dr Asan Ali Golam Hassan berkata, projek hidro vortex julung kali dilaksanakan di negara ini sebagai usaha membekalkan elektrik secara percuma kepada masyarakat terpencil di kawasan pedalaman.

Menurutnya, projek itu bertemakan kejuruteraan sebagai enjin untuk pertumbuhan ekonomi dan inovasi sosial.

“Dalam konteks lebih mudah, vortex yang dibangunkan ini boleh menjana bekalan elektrik, air sebagai kemudahan asas dan pada masa sama melonjakkan kegiatan ekonomi setempat.

“Program ini merangkumi dua fasa yang fasa pertama membangunkan satu hidro vortex dan menyalurkan elektrik kepada penduduk Kampung Lemoi yang disiapkan pada Mac 2018.

Jelasnya, setiap rumah yang menerima kemudahan itu hanya perlu membayar 60 sen sebulan atau dua sen sehari untuk menampung kos operasi hidro vortex.


MENGUBAH SUAI bilah pemutar.

“Pada peringkat permulaan setiap rumah akan dibekalkan satu mentol dan akan ditambah dengan satu soket lampu.

“Kemudian bekalan elektrik sekitar 3kw dapat dibekalkan kepada 40 rumah penduduk, surau, dewan dan beberapa tiang lampu jalan di Kampung Pos Lemoi,” katanya.

Fasa kedua pula membabitkan pelaksanaan aktiviti ekonomi yang bermula dengan ternakan itik. Tempat ternakan 600 itik sudah dibangunkan dan 290 anak itik dihantar ke Kampung Lemoi.

“Baki 210 itik dihantar pada Julai dan 200 itik lagi pada Ogos lalu. Sementara projek ternakan ikan keli dan talapia juga bermula Ogos lalu.

“Selain itu projek tanaman jagung bakal dimulakan selepas mendapat kelulusan dan bantuan peralatan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands,” katanya.


PERCUBAAN turbin.

Dr Asan Ali berkata, objektif program terbabit adalah untuk meningkatkan kemudahan mengakses elektrik secara percuma bagi komuniti terpencil, pembabitan dalam kegiatan pertanian komersial, menguruskan perniagaan secara profesional, memperbanyakkan pengeluaran (pendapatan) dan pemasaran hasil pertanian yang mampan.

Katanya, projek yang membabitkan pemindahan teknologi berkonsepkan kesukarelawan berimpak tinggi, mapan, perolehan hasil segera dan kos yang murah itu dijangka memberi memberi manfaat secara holistik kepada 246 penduduk kampung berkenaan.

“Pelaksanaan projek hidro vortex di Pos Lemoi atas cadangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada Disember 2016.

“Ini untuk memastikan komuniti Orang Asli di kampung berkenaan yang bergantung kepada janakuasa dan bekalan tenaga solar untuk mendapatkan bekalan elektrik sejak 12 tahun lalu dapat menikmati kehidupan lebih selesa,” katanya.


PENDAWAIAN elektrik ke 40 rumah.

Katanya, fasa pertama projek itu menerima peruntukan RM92,859 daripada Jabatan Pengajian Tinggi dan Kementerian Pengajian Tinggi, MyPPP Cameron Highlands dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (RM35,000), Majlis Profesor Negara dan Pejabat ADUN Jelai yang masing-masing berjumlah RM5,000.

Selain itu katanya, bantuan nasihat, peralatan dan logistik diperoleh daripada pihak JAKOA bernilai RM20,000.

Peruntukan fasa kedua disumbangkan CIMB Foundation sebanyak RM50,000 dan JAKOA memberi bantuan dalam bentuk peralatan untuk menanam jagung bernilai RM30,000.

Beliau berkata, Koperasi Kampung Pos Lemoi akan ditubuhkan selepas aktiviti ekonomi berjaya dilaksanakan.

Malah beliau berharap projek itu dapat diperluaskan ke kampung terpencil lain supaya lebih ramai mendapat manfaatnya.


ANAK itik untuk peserta program ekonomi di Kampung Lemoi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 1:35 PM