MENYANYIKAN lagu berjudul Angin.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Ketika berbual dengan jurugambar sementara menunggu program bermula, penulis disapa seorang lelaki berusia 60-an berbaju Melayu jingga yang memperkenalkan dirinya sebagai Aripin Said.

Penampilannya ringkas dan begitu merendah diri ketika berbicara membuatkan penulis tidak menyangka beliau adalah Tokoh Siri Dokumentasi Sastera Rakyat bergelar Datuk.

Bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia itu juga adalah penyanyi dan pejuang lagu rakyat kurang dikenali ramai terutama generasi muda.

Lebih mengagumkan, beliau boleh menyanyi 60 lagu rakyat dan kehadirannya ke program berkenaan untuk menyampaikan dua lagu berjudul Angin dan Burung Kenek-kenek.

Uniknya beliau turut membuat persembahan sambil memalu kompang usang.

“Usia kompang ini sudah lebih 30 tahun dan ia pemberian bapa. Saya selesa dengan peralatan ini. Saya pernah menggunakan kompang lain ketika membuat persembahan, namun tidak dapat merasai ‘feel’ yang sama dengan kompang ini,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, beliau mempunyai satu lagi kompang berusia 100 tahun, tapi jarang dibawa ke persembahan kerana saiznya agak besar.

Berkongsi ringkas pembabitannya dalam bidang nyanyian lagu rakyat, Aripin berkata, ia bermula 48 tahun lalu dengan mempelajarinya dari penglipur lara lama di beberapa kampung di Pahang.

“Pada mulanya saya membuat persembahan hanya di Pahang sebelum berkembang di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Lagu pertama saya nyanyi ketika persembahan ialah Indung-Indung yang dalam bahasa Minang bermaksud ibu dan Ulek Mayang,” katanya.

Meskipun lagu rakyat semakin dilupakan di negara ini, tetapi masyarakat antarabangsa meminati lagu itu apabila beliau sering menerima undangan membuat persembahan di luar negara seperti Eropah, Afrika Selatan dan India.


ARIPIN bersama kompang berusia lebih 30 tahun.

“Antara pengalaman tidak dapat dilupakan ketika berada di sebuah perkampungan di Birmingham, England kira-kira 20 tahun lalu. Ketika itu bersama penyelidik membuat penyelidikan berkenaan budaya tradisi Melayu antarabangsa sambil menyanyikan lagu Anak Ayam Turun 10.

“Mengejutkan apabila saya berhenti menyanyi, ada seorang lelaki tua menyumbang pula lagu itu.

“Rupa-rupanya lelaki terbabit bekas tentera England yang bertugas di Mentakab, Pahang selama 10 tahun dan beliau juga boleh bertutur bahasa Melayu,” katanya.

Menurutnya, ada empat lagu yang begitu dekat dengan dirinya iaitu Walinung Sari, Puteri Kayangan, Indung-Indung dan Angin.

Beliau tidak boleh terlalu serius ketika menyanyikan Ulek Mayang, Puteri Kayangan, Walinung Sari dan Indung-Indung kerana penonton mungkin boleh diserang histeria.

“Ia pernah terjadi beberapa kali kerana lagu berkenaan dipercayai ada ‘semangat.’

“Lagu rakyat perlu diperkenalkan kepada generasi muda supaya warisan nenek moyang tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Festival Anak Merdeka anjuran Art Market Malaysia di sebuah pusat beli belah Da Men, Subang Jaya, Selangor itu diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61, baru-baru ini.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Selain itu, program terbabit turut menghimpunkan 30 pelukis dengan 10 daripada dikategorikan orang kurang upaya. Difahamkan, lima peratus hasil jualan karya berkenaan bakal disumbangkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).


MUHAMMAD Bakhtiar (duduk) beramah mesra dengan pelukis OKU.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 12:55 PM