PEMBENTANGAN idea kreatif.
TERUJA untuk melihat eksperimen yang dijalankan
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Pembudayaan sains adalah penting untuk menjamin kelangsungan masa depan negara. Bagi memupuk dan meningkatkan minat pelajar kepada bidang sains, teknologi dan inovasi, Jaringan Saintis Muda (Young Scientist Network) dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM) menganjurkan pertandingan National Science Challenge (NSC) peringkat Kuala Lumpur di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Pengerusi NSC Dr Phan Chia Wei berkata, enam pasukan terpilih menyertai NSC kali ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, SMK Seri Bintang Selatan, SMK (Lelaki) Methodist, SMK Sungai Besi, Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor dan SMS Seri Puteri.

“Sejak penganjuran NSC pada 1999, ia berjaya menarik minat pelajar sekolah menengah dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Usaha saintis dan teknokrat tempatan bakal memastikan negara kekal relevan dalam arus pemodenan global yang bertunjangkan teknologi maklumat.

“Pemupukan minat pelajar sekolah dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) memerlukan sokongan berterusan pelbagai pihak,” katanya.


PELAJAR gembira diberi peluang mencuba peralatan sains.

Penganjuran NSC 2018 menerima kerjasama Kementerian Pendidikan dan syarikat petroleum dan gas antarabangsa.

Seramai 200 pelajar sekolah menengah dari seluruh Lembah Klang turut hadir memeriahkan NSC 2018.

Dr Chia Wei berkata, selain pertandingan kuiz peserta turut diminta untuk membentangkan topik berkaitan sains dan inovasi secara berkumpulan.

Katanya, setiap kumpulan memilih tajuk pilihan daripada senarai penganjur merangkumi pelbagai isu penting berkaitan kemajuan teknologi dan inovasi dalam bidang perubatan, astronomi, kejuruteraan dan pengkomputeran.

“Kumpulan yang membuat pembentangan paling kreatif, meliputi pemahaman mengenai topik yang dipilih dan kebolehan idea inovatif dipilih sebagai pemenang.

“Untuk NSC ini, SMK (L) Methodist muncul sebagai juara keseluruhan. Mereka akan mewakili Kuala Lumpur ke NSC peringkat seterusnya yang bakal diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM),” katanya.

Pada kali ini, penganjuran NSC mempunyai kelainan dengan adanya 10 reruai (gerai pameran) khas dari pelbagai penyelidik UM yang berupaya menggalakkan minat pelajar sekolah terhadap bidang sains dan inovasi.


PELAJAR gembira diberi peluang mencuba peralatan sains.

Lebih menarik Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, berkongsi teknologi sistem akuaponik berpenderia mini yang dibangunkan menggunakan pemproses mikro yang boleh diprogramkan menurut fungsi dikehendaki.

Sistem akuaponik mini ini boleh digunakan sebagai asas kepada pelajar untuk mendalami bidang pengaturcaraan melalui kombinasi minat mereka dalam bidang matematik dan sains.

Sistem itu turut ditambah baik untuk menjadi sistem akuaponik sebenar bagi penanaman salad dan pemeliharaan ikan tilapia, yang secara tidak langsung mendidik pelajar mengenai isu urbanisasi dan kelestarian alam.

Selain itu inovasi pengaturcaraan kit robotik dan ujian DNA oleh pakar dan penyelidik turut menarik perhatian pengunjung untuk melihat pelbagai jenis pergerakan kit robotik.


PELAJAR turut diberi peluang melakukan uji kaji .

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 1:05 PM