SUASANA di dalam kelas yang dihias mengikut tema kemerdekaan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Setiap tahun, warga pendidik akan mengadakan sambutan bulan kemerdekaan di sekolah dan di institusi pendidikan.

Banyak aktiviti yang dilaksanakan bagi menyemai dan memupuk semangat sayangkan negara serta menghargai kemerdekaan negara.

Selari dengan Hari Kebangsaan ke-61 tahun ini, semangat itu terus disemai oleh lebih 1,300 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi apabila menganjurkan pelbagai acara bagi menyemarakkan sambutan itu.

Membabitkan keseluruhan warga sekolah, pertandingan menghias kelas mendapat sambutan hebat daripada pelajar apabila 56 kelas menyertainya.

Pengetuanya, Zainudin Mohamad berkata, pertandingan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar dan mereka berlumba-lumba untuk menceriakan kelas dengan tema kemerdekaan.


PELAJAR daripada pelbagai bangsa bekerjasama menyemarakkan suasana kemerdekaan.

Katanya, pertandingan menghias kelas antara sebahagian daripada program Bulan Patriotik dan Sambutan Bulan Kemerdekaan yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 16 September depan.

“Setiap pelajar memberi kerjasama apabila hampir keseluruhan kelas sudah siap dihias mengikut tema kemerdekaan.

“Pelajar juga menunjukkan pembabitan yang baik juga apabila terbabit dalam kuiz perdana, pertandingan melukis poster, syair, puisi dan sajak patriotik, pertandingan foto dan nyanyian solo,” katanya.


SUDUT bacaan di dalam kelas yang memaparkan tema kemerdekaan.

Katanya, sambutan Bulan Patriotik itu diadakan bagi memupuk semangat cinta kepada negara iaitu bukan semata-mata untuk menyambut Hari Kebangsaan.

“Kami berharap program ini dapat menanam semangat cintakan negara dalam kalangan warga sekolah sekali gus membuatkan mereka menghargai kemerdekaan dan kemakmuran negara yang dikecapi kini.

“Aktiviti ini turut menerapkan semangat perpaduan dalam diri generasi muda supaya menghargai dan terus mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara,” katanya.


PELAJAR bertungkus lumus memasang Jalur Gemilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 2:44 PM