MOHAMMAD Shazni bersama kostum adiwira yang dihasilkannya.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Lazimnya, peminat filem epik Star Wars bukan saja tertunggu-tunggu untuk menonton setiap kesinambungan episodnya tetapi turut meminati watak yang ada dalam filem berkenaan.

Bahkan, bagi mereka yang obses dengan filem terbabit pula sanggup menjelmakan diri sebagai adiwira itu selain berkemahiran membuat kostum dan aksesorinya.

Sementara Lightsaber atau pedang lampu pula adalah peralatan wajib yang digunakan watak Jedi dan Sith dalam filem itu.

Namun di sebalik itu, ramai tidak mengetahui ada anak tempatan berkebolehan menghasilkan peralatan terbabit secara pasang sendiri (DIY).

Melihat gaya bersahaja lelaki ini, siapa sangka beliau mempunyai kreativiti yang luar biasa bukan saja menghasilkan peralatan itu tetapi juga kostum adiwira terutama karakter Star Wars.

Beliau ialah Mohammad Shazni Abdul Ghani, 32, yang meminati adiwira itu sejak kecil dan enam tahun lalu memberanikan diri meneroka bidang itu dengan menjadikannya sebagai pekerjaan utama.

Katanya, walaupun budaya popular itu adalah bidang baru, ia mempunyai masa depan yang cerah selain memberikan pulangan menggalakkan.


MOHAMMAD Shazni berkongsi pengalamannya membuat Lightsaber dan kostum adiwira.

“Dunia adiwira ini mencetuskan fenomena sejak beberapa tahun lalu dan mempunyai pengikut yang ramai terutama dalam kalangan anak muda.

“Lebih-lebih lagi apabila adiwira ini bukan saja menjadi tarikan untuk hiburan semata-mata, malah sebagai aktiviti kebajikan,” katanya kepada Nuansa.

Menurutnya, beliau mula membuat Lightsaber selepas muncul dengan memakai kostum Star Wars bersama pedang itu ketika menonton wayang filem epik berkenaan dengan komuniti superhero terbabit enam tahun lalu.

“Lightsaber yang saya bawa itu menarik perhatian ahli Star Wars Malaysia Fan Club kerana belum pernah ada adiwira Star Wars tampil bersama pedang ini.

“Menariknya ia dibeli pada harga RM800 di sebuah kedai mainan,” katanya yang digelar Shaz Stark oleh komuniti terbabit.


MENCUBA tangan Iron Man.

Bagaimanapun, pada asalnya beliau memang tidak mengetahui cara membuat pedang ini tapi kerana gemar cabaran dan suka mempelajari sesuatu yang baru, dia sanggup mempelajarinya menerusi YouTube di samping mempraktikkan ilmu ketika melanjutkan pengajian dalam bidang Reka Bentuk Industri di Universiti Lim Kok Wing.

“Saya mengambil masa selama tiga bulan untuk mempelajari dan melakukan penyelidikan pembangunan Lightsaber sebelum menerima tempahan awal 30 unit,” katanya.

Katanya lagi, sejak 2012 beliau sudah membuat dan menjual 300 unit Lightsaber termasuk kepada pelanggan antarabangsa dari Australia, Perancis dan Jerman.

Menurutnya, dua tahun lalu beliau mula membuat 10 kostum adiwira seperti Star Wars, Green Lantern, Iron Man, Over Watch dan Maleficent.


MEMERIKSA kostum Iron Man dan ‘The Flash’.

Katanya, beliau turut menggunakan YouTube sebagai medium mempelajari cara membuat kostum berkenaan.

“Saya mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk menyiapkan satu kostum. Ia agak lama kerana mementingkan kualiti di samping memastikan pembuatan yang kemas dan memuaskan hati pelanggan.

“Setiap satu kostum dijual di antara RM3,000 hingga RM8,000 dan harganya boleh menjadi lebih tinggi bergantung kepada kualiti bahan digunakan,” katanya.

Jelasnya, tindakan menceburi perniagaan membuat kostum adiwira dan Lightsaber enam tahun lalu adalah tepat kerana sentiasa ada permintaan.

“Setiap tahun pasti ada filem terbaru Star Wars ditayangkan di pawagam dan pada masa itu perniagaan ini akan meningkat kerana peminat akan membeli apa saja yang ada kaitan dengan adiwira terbabit,” katanya.

Katanya, dunia adiwira sebenarnya menyediakan landskap perniagaan baru terutama kepada anak muda untuk lebih memberanikan menjadi usahawan selain kreatif dalam menghasilkan produk.


MEMERIKSA ‘Infiniti gaunlet’ Thanos.

“Di negara ini, masih tidak ramai yang menjalankan perniagaan berkaitan adiwira berbanding di luar negara.

“Bagaimanapun, komuniti adiwira ini akan menjadi satu idea kepada generasi muda untuk mempelbagaikan perniagaan berkaitan dengannya,” katanya.

Mohammad Shazni berkata, dari segi pendidikan pula ia akan menjadi salah satu cabang seni kerana terdapat aplikasi membuat gambar tiga dimensi (3D) seperti ‘rapid prototyping’ menggunakan mesin mencetak 3D.

“Saya sentiasa meningkatkan kemahiran dalam bidang berkenaan terutama membabitkan teknologi supaya produk dihasilkan sentiasa menepati kehendak peminat adiwira.

“Cat kostum umpamanya menggunakan teknologi automotif seperti Vinyl Wrap yang lebih berkualiti dan tahan lama berbanding kaedah lama,” katanya yang pernah memenangi pertandingan cosplay tahun lalu.


BERSAMA adik, Muhammad Syamim dengan suite Thor dan Hammer.

Berkongsi sedikit sejarah bagaimana terjebak dengan dunia cosplay itu katanya, ia bermula daripada minat terhadap karakter adiwira Star Wars ketika kecil.

“Ketika kecil saya terlalu obses dengan Star Wars dan akan kumpul apa saja benda berkaitan karakter ini.

“Saya bernasib baik kerana mendapat sokongan penuh keluarga terutama ayah yang sangat menggalakkan untuk meneroka lebih jauh,” katanya.

Katanya, kini beliau menjadikan minatnya kepada hobi lumayan dan pada masa mempunyai impian membuka ‘Superhero Town’ seperti Disneyland dan Universal Studio yang akan menjadi tarikan pelancongan baru di negara ini.

Katanya, dia juga berhasrat bekerjasama dengan syarikat industri perfileman tempatan untuk membangunkan industri seni adiwira di negara ini.


ANTARA kostum adiwira dihasilkan Mohammad Shazni.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 1:24 PM