GADIS Dan Bunga Raya karya Samantha Pei Wen antara karya seni visual yang disenarai untuk undian.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Karya seni visual seperti lukisan, fotografi, arca dan rekaan kini bukan lagi dilihat sebagai penghias ruang semata-mata, malah turut berperanan mencerminkan budaya negara dengan lebih dekat melalui olahan seni yang kreatif, unik serta indah.

Sehubungan itu, Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dalam usaha menyemarakkan kesedaran rakyat terhadap seni dan budaya Malaysia akan menggunakan karya seni visual untuk mengubah landskap bandar raya Kuala Lumpur (KL).

Ini dilakukan menerusi ‘Art in the City’ apabila dalam program ini membabitkan 10 karya seni visual artis tempatan yang terpilih menerusi undian orang ramai dan juri profesional.

Karya berkenaan akan diperbesarkan imejnya sebelum dipamerkan pada bangunan pencakar langit sekitar ibu kota.

Pada masa sama karya seni visual bukan saja membangunkan potensi individu dari segi kreativiti, inovasi dan imaginasi, malah turut menjadi medium untuk memahami amalan setiap kehidupan individu atau masyarakat.


ORANG utan spesies terancam di negara ini karya Suzi Chua antara karya seni visual yang disenarai untuk undian.

Ini kerana, budaya yang juga lambang sesuatu bangsa sering dijadikan idea dalam berkarya. Malah, menerusi karya seni visual menjadikan kita peka dengan nilai seni terutama kraftangan yang juga warisan dan khazanah yang perlu dihargai.

Melalui aktiviti seni visual, ia dapat memupuk masyarakat yang harmoni, bertanggungjawab, bersatu-padu, bekerjasama dan saling memahami.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata ‘Art in the City’ adalah satu inisiatif yang diyakini memiliki kekuatan melalui karya seni mereka untuk menyampaikan mesej yang memberi impak mendalam kepada masyarakat terutama bagi menonjolkan Kuala Lumpur sebagai Bandar Budaya dan Kreatif.

“Bandar raya Kuala Lumpur bukan saja akan dihiasi dengan visual berwarna-warni terpilih pada bangunan tinggi, tetapi atur cara ‘Art in the City’ juga akan diteruskan melalui pengaktifan galeri mini di lobi bangunan dan pertubuhan yang mengambil bahagian.

“Ini termasuk bengkel seni, jalan jejak seni di sekitar ibu kota dan pembikinan mural serta pemasangan karya seni jalanan dengan kerjasama organisasi sukarelawan, iM4U untuk terus mengukuhkan kedudukan KL sebagai destinasi budaya dan kreatif,” katanya.

Katanya, program seni dalam bandar ini juga bertujuan menjadikan seni visual lebih mudah diakses orang ramai, di samping sebagai platform untuk mempromosikan dan memperkenalkan karya artis bebas kepada orang awam mahupun pelancong dengan lebih meluas.


ANEKA kuih tradisi karya Natasha Iman Muhamad Razib turut tersenarai.

“Sebanyak 30 karya seni hasil penggiat seni visual seluruh Malaysia dalam memberikan imej yang unik kepada bandaraya Kuala Lumpur sambil mempromosikannya sebagai destinasi budaya kreatif terpilih untuk diundi orang ramai secara dalam talian.

“Tempoh undian yang tamat bulan lalu mensyaratkan karya visual berkenaan perlu mempunyai kaitan dengan Malaysia yang menyampaikan pelbagai ungkapan budaya membolehkan orang ramai menghayati karya seni itu dengan mendedahkan perspektif berbeza dan memupuk pemahaman awam terhadap seni visual,” katanya.

Karya seni yang disenarai pendek panel pemilihan kini dalam proses penilaian jumlah undiannya dan dua karya yang mendapat jumlah tertinggi, sementara lapan lagi diadili juri profesional akan dipaparkan di bangunan di sekitar bandaraya dijangka dilaksanakan pada Jun ini.

Projek mengindahkan bandar raya Kuala Lumpur dijalankan dengan kerjasama Balai Seni Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bangunan yang akan menjadi premis pameran akan dipilih di kawasan berkedudukan strategik dan menjadi tumpuan awam supaya mesejnya sampai.

CENDANA adalah agensi yang diasaskan untuk membentuk ekonomi budaya yang bertenaga, mampan dan bercita-cita tinggi untuk Malaysia, seterusnya meningkatkan profil seni dan budaya serta membantu membentuk identiti negara ini sebagai destinasi seni, sekali gus secara strategik meletakkan Malaysia di pentas global.


CONTOH karya seni pada bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 12:35 PM