PENUNTUT bermain ‘toboggan’ di Pulau Nami.
PERBUALAN penandarasan diwakilkan oleh Profesor Madya Dr Angzzas Sari Mohd Kassim (Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa) dari UTHM.
HM Digital

Bagi meningkatkan lagi penandarasan pembelajaran dan penyelidikan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), satu lawatan mobiliti ke Korea Selatan membabitkan 12 siswa dan tujuh pensyarah universiti awam itu dilakukan, baru-baru ini.

Penuntut berkenaan adalah siswazah dan pascasiswazah yang mewakili Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).

Menerusi penjenamaan 'Mobility and benchmarking to universities in Seoul' dengan tagline 'FTK invasion, seize Seoul, innovate technology' antara matlamat peserta program itu ke Seoul.

Selain itu ia untuk melaksanakan penandarasan demi penambahbaikan kualiti secara berterusan di peringkat sarjana muda dan pascasiswazah berserta asimilasi dengan budaya pembelajaran atau penyelidikan di UTHM.

Ini selaras maksud Soaring Upward iaitu peningkatan berterusan yang diperkenalkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh sebagai sumber inspirasi dan motivasi semasa membentangkan cadangan dan hasil penyelidikan masing-masing di Hanyang Universiti dan Yonsei Universiti.

Ketua program, Prof Madya Dr Chan Chee Ming, berkata konsep Soaring Upward dalam memastikan ‘survival’ hidup di Korea Selatan dipraktikkan kumpulan berkenaan.

Katanya, dengan harga makanan yang agak mahal berbanding di Malaysia, mereka bekerja dalam kumpulan menyediakan makanan dan merancang menggunakan kenderaan awam sebagai pengangkutan utama di samping berjalan kaki.

“Dengan semangat Soaring Upwards, kami tidak mengalah tetapi berusaha meningkatkan kemahiran insaniah pelajar, khususnya dari segi kemahiran komunikasi dan semangat kerjasama dengan Hanyang Universiti serta Yonsei Universiti dalam pembangunan ahli profesional berminda global,” katanya.

Di universiti berkenaan, kumpulan berkenaan didedahkan dengan pelbagai teknologi terkini yang antaranya pencetak 3D yang diletakkan di perpustakaan universiti untuk kegunaan penuntut.

Semasa di Nami Island, peserta mobiliti menemui idea penyelidikan baharu yang berkaitan teknologi hijau.

Keterujaan peserta mobiliti dapat dirasakan apabila berada di Gyongbukgung Palace apabila mereka didedahkan dengan reka bentuk istana pada zaman dahulu yang dijaga rapi dengan persekitaran amat indah.-Fazurawati Che Lah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 1:42 PM