Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Lengkap dengan segala keperluan, seakan-akan berada di litar perlumbaan kenderaan pacuan empat roda yang sebenar. Lokasinya sudah pasti dunia tropika yang menyajikan pelbagai cabaran basah, bersemak dan berbukit.

Sang pemandu pegun yang berwajah tenang atau serius pula bersiap siaga untuk menempuh pelbagai cabaran dalam pemanduan yang dikawal sepenuhnya oleh pemilik.

Sekiranya kenderaan tersangkut pada satu-satu laluan sama ada disebabkan batu atau berlumpur, mereka perlu mencangkuk kabel pada akar atau batu yang membolehkan alat permainan itu meneruskan perjalanan.

Itulah serba sedikit pengenalan kepada aktiviti bermain kenderaan pacuan empat roda kawalan jauh yang semakin mendapat perhatian peminatnya bukan saja dari Malaysia malah luar negara.


KABEL penarik berfungsi sekiranya kenderaan tersangkut pada laluan mencabar.

Meskipun permainan menggunakan alat kawalan jauh sinonim dengan kanak-kanak, kebanyakan aktiviti santai berkonsepkan kekeluargaan seperti ini turut disertai golongan dewasa.

Aktiviti ini boleh dikatakan sudah lama bertapak di negara kita, iaitu sejak lapan tahun lalu dan mula mendapat perhatian ramai sekitar empat tahun lalu apabila komuniti penggiatnya mengadakan pelbagai acara seperti latihan dan kejohanan.


PEMILIK perlu mempunyai skil mengawal kenderaan milik mereka.

Kegilaan golongan ini kepada permainan kenderaan pacuan empat roda kawalan jauh itu begitu jelas sehingga mampu mewujudkan lokasi latihan dan litar perlumbaan di setiap negeri.

Difahamkan ada beberapa lokasi popular bagi aktiviti ini iaitu di Shah Alam (Selangor), Keramat (Kuala Lumpur), Kulim (Kedah), Kota Kinabalu (Sabah) dan Johor Bahru (Johor).


LALUAN sungai yang mencabar kemampuan kenderaan mainan untuk beraksi.

Lokasi untuk melakukan aktiviti itu yang ‘dilengkapi’ pelbagai cabaran diwujudkan oleh komunitinya yang sanggup membelanjakan wang sendiri bagi membolehkan mereka merasai seperti memandu kenderaan itu walaupun hanya memegang alat kawalan jauh.

Litar bagi aktiviti ini juga dibahagikan kepada dua segmen iaitu laluan denai dan jalan raya. Paling popular permainan di litar denai atau lebih dikenali sebagai ‘crawler’.

Litar denai yang terdapat di Malaysia bukan sahaja popular dalam kalangan penggiat tempatan, malah mampu menarik perhatian peminatnya dari luar negara.


KENDERAAN pacuan empat roda bersama ‘pemandu’ disusun kemas pemiliknya.

Ini kerana Malaysia mempunyai litar denai semula jadi yang agak mencabar dan pemain boleh merasai pengalaman ‘pemanduan’ di dunia hutan tropika sebenar berbanding di negara asing yang mempunyai empat musim.

Lebih menarik, litar untuk aktiviti itu juga mempunyai ‘sungai’ buatan yang perlu diredah dan mampu menenggelamkan kenderaan sehingga ke paras tingkap.

Sekiranya terdapat kejohanan diadakan, litar yang dicipta juga dikelilingi dengan kon mini, pita laluan, jambatan mini dan batu yang disusun untuk wujudkan laluan berbukit.


LITAR sebenar mewujudkan rasa pemanduan realiti kepada pemainnya.

Kenderaan mainan itu pula biasanya boleh dibeli pada harga bermula RM350 dan mencapai ribuan ringgit sekiranya pemain melakukan pelbagai modifikasi seperti di bahagian enjin dan aksesori.

Terdapat juga kenderaan pacuan empat roda mainan yang berjenama dengan model popular. Malah reka bentuknya hampir sama dengan kenderaan sebenar.

Difahamkan pengeluar kenderaan mainan itu juga bekerjasama dengan jenama kenderaan pacuan empat roda popular dunia bagi memberi rasa sebenar kepada pemiliknya.

Dari segi alat kawalannya yang menjadi nadi kepada pergerakan kenderaan, ada yang dijual secara berasingan sehingga mencecah ribuan ringgit kerana mampu memberi prestasi terbaik ketika ‘memandu’ kenderaan.


ALAT kawalan jauh memainkan peranan penting ketika bermain.

Bagi menghidupkan lagi suasana permainan itu, pemilik juga tidak teragak-agak membelanjakan wang untuk membeli beberapa aksesori lain seperti pemandu, tayar ganti dan tong minyak yang disusun kemas. Jika ada kejohanan, aksesori berkenaan turut diberikan markah tambahan.

Peminat permainan kenderaan pacuan empat roda kawalan jauh juga boleh dikatakan agak besar di Malaysia kerana setiap negeri mempunyai kumpulan masing-masing yang aktif kerana ia dilihat sebagai aktiviti riadah yang santai tetapi mencabar dan menyeronokkan!


JAMBATAN gantung antara cabaran laluan yang dilalui kenderaan mainan pacuan empat roda.

Lokasi popular aktiviti bermain alat kawalan jauh kenderaan pacuan empat roda di Malaysia:

1. Siput Park (Selangor)

2. Badland (Selangor)

3. Keramat AU3 (Kuala Lumpur)

4. Taman Dahlia Bandar Baru Salak Tinggi (Selangor)

5. Hutan Simpan Sungai Sedim (Kedah)

6. Malacca Grand Canyon Crawler Adventure, Malacca International Trade Center MITC (Melaka)

7. Hutan Bandar, Larkin (Johor)

8. Taman Eko Rimba Kledang Saiong (Ipoh)

9. Isi Rimba Kemensah (Kuala Lumpur)

10. Bukit DBKU (Sarawak)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 11:32 AM