Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Melompat setinggi-tingginya, tanpa peduli rasa gayat ketika berada di awan-awangan untuk beberapa saat. Kepuasannya hanya empunya diri dapat mentafsirkannya.

Bagi mereka yang mampu mengendalikan keseimbangan badan dengan baik ketika melompat, pelbagai gaya akrobatik dapat ditonjolkan. Inilah keseronokan ketika bermain trampolin yang masih kurang diketahui ramai.

Aktiviti trampolin di Malaysia secara formalnya menemui orang ramai sebagai satu aktiviti santai sekitar empat tahun lalu apabila sebuah syarikat asing menyuntik modal perniagaannya untuk membuka premis khas bagi aktiviti berkenaan.

Hingga kini difahamkan sudah ada lima taman trampolin yang menawarkan aktiviti itu antaranya di kawasan Lembah Klang dan Johor. Secara tidak langsung membuktikan ia mempunyai daya tarikan tersendiri dalam pelancongan sukan tempatan.

Semua taman berkenaan diwujudkan dalam premis tertutup atau dalam kata lain ia aktiviti ‘indoor’ yang sesuai untuk disertai seisi keluarga bagi mengisi waktu santai atau hujung minggu.


MELOMPAT bersama rakan-rakan ketika beraksi menjanjikan keseronokan

Aktiviti trampolin tidak memerlukan banyak alat bantuan. Peralatan paling utama ialah stoking cengkaman yang mempunyai getah di bahagian tapak bagi mengelak pemain terjatuh ketika mendarat.

Setiap premis menjual dan menyediakan stoking cengkaman dengan harga sekitar RM6 sepasang.

Meskipun aktiviti trampolin di Malaysia kurang berkembang, masih ada golongan muda khasnya, sentiasa mempelajari kemahiran lompatan untuk mempamerkan gaya yang menarik ketika melayang di udara.

Bagi mereka yang kali pertama ingin mencuba trampolin, anda berpeluang mempelajari beberapa kemahiran lompatan dan menjatuhkan badan dengan betul ketika beraksi dari kru profesional yang bertugas di taman berkenaan.

Antara kemahiran asas lompatan yang diajar kru ialah lompat dakap (melompat dengan kedua-dua belah kaki dan semasa dalam layangan, kedua-dua lutut dibengkokkan dan dirapatkan ke dada), lompat stradel (melompat dengan kaki mengangkang dan mendatar semasa dalam layangan), lompat pike (melompat dengan badan berbentuk pike, semasa dalam layangan kedua-dua belah kaki rapat dan mendatar) dan lompat twist separa.

Sementara kemahiran menjatuhkan badan pula ialah jatuhan duduk, jatuhan belakang, jatuhan lutut dan jatuhan depan. Semua kemahiran itu dipaparkan pada gambar supaya anda lebih jelas memahaminya.


KESEIMBANGAN badan perlu bagi mengayakan aksi akrobatik.

Memandangkan trampolin membabitkan aktiviti fizikal, kebarangkalian untuk berlaku kecederaan juga ada. Disebabkan itu, aspek keselamatan sentiasa dipantau kru bertugas.

Biasanya kru bertugas memberi taklimat keselamatan kepada pemain sebelum memasuki ‘arena trampolin’ dan mereka turut diajar cara memberhentikan lompatan dengan betul.

Perkara berkenaan penting bagi memastikan tidak berlaku kecederaan kepada pemain yang kali pertama mencuba terutama membabitkan kesilapan kaki ‘mendarat’ ke atas trampolin yang boleh mengakibatkan terseliuh atau lebih parah, patah.

Dari segi pakaian pula, setiap pemain digalakkan memakai pakaian yang sukan sesuai dan dinasihatkan tidak memakai seluar pendek atau singlet kerana sekiranya pemain terjatuh kulit mereka tidak luka apabila bergesel dengan ‘lantai’ trampolin yang kesat dan keras.

Menariknya aktiviti ini bukan sekadar melompat saja, malah dapat membantu pemain memantapkan fizikal dan mental.

Pada masa sama, aktiviti trampolin juga dikatakan mampu memberikan ketenangan minda. Oleh itu, tidak mustahil terdapat syarikat mengadakan aktiviti luar untuk pekerja mereka di taman trampolin.


STOKING cengkaman digunakan untuk melompat.

Malah ia turut sesuai disertai kanak-kanak kerana terdapat beberapa taman trampolin menyediakan ruangan khas untuk mereka. Namun, ia turut bergantung kepada had ketinggian yang ditetapkan pihak operator taman berkenaan.

Dari segi harga, hasil tinjauan penulis mendapati beberapa taman trampolin tempatan mengenakan bayaran bermula RM20 hingga RM27 sejam. Setiap tambahan jam pula dikenakan sekitar RM10. Bagaimanapun, syarikat operator taman trampolin menawarkan harga yang berbeza pada hari biasa dan hujung minggu.

Sebenarnya taman trampolin tidak hanya menawarkan orang ramai untuk melakukan lompatan dan menggayakan aksi akrobatik saja. Malah, terdapat sektor tertentu dikhaskan untuk sukan seperti dodgeball dan bola keranjang. Pasti seronok sekiranya dapat melompat tinggi ketika bermain bola keranjang di trampolin meskipun tidak setinggi Michael Jordan!


AKSI akrobatik ketika beraksi di atas trampolin

Taman Trampolin di Malaysia

1. Jumpstreet Asia, Kuala Lumpur

2. Amped Trampoline Park Malaysia, Selangor

3. Flip Out Trampoline Arena Malaysia, Selangor

4. Enerz Extreme Park, Selangor

5. Austin Heights Water & Adventure Park, Johor

Kemahiran lompatan


LOMPAT dakap.

LOMPAT straddel.

LOMPAT pike.

JATUHAN lutut.

JATUHAN belakang.

JATUHAN duduk.

JATUHAN depan.

LOMPAT twist separa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 9:26 AM