Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Seramai 44 sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi tempatan menyertai misi sukarelawan di Belitung Timur, Bangka Belitung, Indonesia sejak 18 Februari lalu.

Turut sama menyertai misi terbabit ialah 280 mahasiswa Indonesia yang menyasarkan komuniti di dua lokasi wilayah terbabit iaitu Desa Senyubuk dan Desa Baru. Peranan sukarelawan semestinya menyasarkan peningkatan ekonomi menerusi bimbingan idea pemasaran produk masyarakat setempat yang dikenali sebagai peniaga perusahaan kecil dan sederhana antaranya makanan ringan serta hasil kerja tangan.

Menurut Pengerusi YSS Datuk Zuraidah Atan, kumpulan sukarelawan ini akan menggunakan pendekatan ‘immersion’ apabila akan tinggal bersama warga desa untuk membolehkan mereka menyelami budaya serta kehidupan masyarakat tempatan.

“Ini misi pertama YSS ke Indonesia menerusi jalinan strategik antara Institut Kalbis dan Kementerian Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Republik Indonesia (RISTEKDIKTI) bersama YSS di bawah program KKN RISTEKDIKTI.

“Jalinan kerjasama YSS bersama RISTEKDIKTI bertujuan mengeratkan hubungan Malaysia dan Indonesia dalam konteks ASEAN. Selain berjiran, Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak persamaan dan berkongsi budaya serta bahasa melambangkan kekayaan bangsa serumpun.

“Misi YSS bersama Kuliah Kerja Nyata (KKN) ke Belitung Timur, Bangka Belitung, Indonesia itu berlangsung sehingga 6 Mac lalu. Terdahulu, Sukarelawan Siswa YSS melengkapkan latihan sebelum berlepas bersama mahasiswa Indonesia pada 10 dan 17 Februari lalu sebagai persiapan sebelum turun ke lokasi terbabit.


SUKARELAWAN YSS berinteraksi bersama kanak-kanak tempatan.

“KKN merujuk kepada kegiatan mahasiswa yang menyumbang khidmat kepada masyarakat dengan menjalankan kerja sukarelawan pada waktu dan tempat tertentu yang diperkenalkan sejak 1971. RISTEKDIKTI mewajibkan setiap institusi pendidikan tinggi melaksanakan KKN sebagai kegiatan kokurikulum berpandukan tiga aturan iaitu pendidikan, penelitian dan pengabdian selain satu syarat wajib tamat pengajian bagi mahasiswa di Indonesia.

“Sementara sukarelawan siswa kita pula akan tinggal dan bergaul mesra dengan penduduk agar dapat mengenali adat budaya yang secara tidak langsung memudahkan usaha membantu mereka,” katanya.

Kata Zuraidah, misi kali ini penting untuk terus memperkasa siswa dalam pelbagai kemahiran insaniah melalui aktiviti sukarela dalam melahirkan pemimpin sukarelawan peringkat global.

“Harapan kami di YSS agar Malaysia boleh mengikuti jejak langkah yang dilaksanakan di Indonesia dengan mewajibkan mahasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengikuti program sukarelawan sebelum tamat pengajian,” katanya.

Sukarelawan Siswa YSS, Lavannia Kasinathan dari Universiti Teknologi dan Sains Perubatan Institut Asia (AIMST) berkata, peranan kumpulannya dalam kluster kesihatan memfokuskan meningkatkan kualiti penjagaan kebersihan dan kesihatan menerusi beberapa program yang sudah disusun.

“Hari pertama kumpulan Kluster Kesihatan YSS membantu barisan sukarelawan Akademi Refraksi Optisi Leprindo Jakarta menjalankan saringan mata diketuai Pengajarnya Pak Mohd Hussain. Hari berikutnya kami turut menjalankan program cara mencuci tangan yang betul mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia membabitkan 48 pelajar.

“Di sini kami banyak dibantu rakan siswa dan tenaga pengajar untuk berinteraksi dengan masyarakat tempatan. Rata-rata penduduk terutamanya kanak-kanak mudah didekati. Penting untuk kami golongan siswa terdedah dengan program sebegini dalam meningkatkan kemahiran insaniah,” katanya.


SUKARELAWAN YSS dalam Majlis Pelepasan Misi ke Belitung Timur Bangka Belitung Indonesia bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur (berdiri lapan dari kiri).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 1:22 PM