SALAH satu pengisian HCF 2018 ialah Majlis Bacaan Ikrar Pelajar Baru.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Management & Science University (MSU) bakal mengadakan Majlis Konvokesyen ke-22 pada 17 dan 18 Mac ini bertempat di kampus induk MSU Shah Alam, Selangor.

Bagi memeriahkan lagi sambutan konvokesyen itu, Homecoming Fiesta 2018 (HCF 2018) yang bermula 14 Mac hingga Ahad 18 Mac dijangka menarik kehadiran lebih 2,000 warga kampus dan pengunjung luar.

Sepanjang HCF 2018, pelbagai aktiviti khas dan menarik akan dijalankan termasuk Oath Taking Ceremony, President’s List Award Ceremony, White Coat & Hippocratic Oath Ceremony, pameran kerjaya, hari terbuka, sesi kaunseling akademik, bazar keusahawanan dan makanan.

HCF 2018 juga platform terbaik kepada warga MSU untuk memperkasakan kreativiti dan mencerna kemahiran insaniah apabila terbabit dengan bazar keusahawanan.

Selain itu ia turut membolehkan warga MSU sama ada graduan atau mahasiswa memperkukuhkan aspek jaringan bersama industri melalui pameran kerjaya apabila mereka bakal mengenal pasti kecenderungan dan kesesuaian bakat dengan pekerjaan.

Kemuncak HCF 2018 ialah istiadat Majlis Konvokesyen ke-22 MSU bakal menyaksikan graduan menerima pengiktirafan mengikut pencapaian masing-masing dalam diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Selain itu, penerima bagi lima kategori anugerah graduan terbaik berdasarkan pencapaian dalam pelbagai aspek akademik dan aktiviti kokurikulum turut diumumkan.

Anugerah khas itu ialah Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Presiden, Anugerah Akademik, Anugerah Kecemerlangan Mohd Shukri Yajid dan Anugerah Khas Industri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 1:18 PM