DR SHUREEN Faris menunjukkan buku Cerita Laman Kehidupan Dari Copenhagen.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Ungkapan yang dekat dengan karakter anak kelahiran Seberang Prai, Pulau Pinang ini kerana sanggup berdepan cabaran khususnya ketika melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Copenhagen, Denmark pada Ogos 2009 hingga Mac 2013.

Terbukti, biarpun bertubuh kecil, Profesor Madya Dr Shureen Faris Abdul Shukor ini nyata mempunyai semangat yang tinggi dan berjiwa kental apabila memilih negara itu sebagai destinasi melanjutkan pengajiannya.

Ini kerana Denmark bukan negara pilihan bagi yang ingin melanjutkan pengajian disebabkan pelbagai persepsi berkaitan penggunaan bahasa, budaya dan kesukaran mendapatkan makanan halal.

Tidak dinafikan, perjalanan kehidupan Dr Shureen Faris penuh berliku dan bukan mudah seperti disangka. Namun, berbekalkan iltizam yang tinggi akhirnya beliau berjaya menamatkan pengajiannya dalam masa tiga tahun.

Beliau seorang yang optimis dengan peluang kerana pengalaman berada di destinasi yang digelar ‘negara paling bahagia di dunia’ itu dibukukan menerusi penulisannya bertajuk Cerita Laman Kehidupan Dari Copenhagen. Ia ditulis selepas beliau kembali ke tanah air.

Buku itu antara lain dilihat boleh mengubah persepsi ramai terhadap Denmark. Mungkin juga akan menjadi ‘wish list’ kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian atau melancong ke negara berkenaan.

Dr Shureen Faris berkata, buku itu terbahagi kepada lima bahagian iaitu pendahuluan, akses, ruang hijau, elemen bandar dan festival tahunan.

“Bahagian pendahuluan menceritakan berkenaan masyarakat negara Skandinavia itu yang disifatkan sebagai sangat jujur, telus dan tidak mempamerkan kelebihan diri selain lebih gemar merendahkan diri.

“Masyarakatnya sangat menepati masa di dalam apa jua keadaan dan kesamarataan taraf sosial menjadi keutamaan. Ini antara sifat baik yang boleh dicontohi,” katanya kepada Nuansa.


DUTA Besar Denmark Nicolai Ruge (kiri) melancarkan buku Dr Shureen Faris (kanan) yang bertajuk Cerita Laman Kehidupan Dari Copenhagen sambil disaksikan Naib Canselor UPM Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Menurutnya, bahagian akses pula menceritakan berkenaan budaya berbasikal di Copenhagen yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di bandar berkenaan.

“Penduduk di Copenhagen akan berbasikal sama ada pada hari panas, hujan dan bersalji untuk ke tempat kerja, sekolah atau aktiviti sosial.

“Copenhagen adalah bandar pertama di dunia dikenali sebagai bandar berbasikal dan penggunaannya sebagai usaha negara itu mengurangkan pembebasan karbon dioksida daripada kenderaan,” katanya.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, masyarakat Copenhagen juga sangat menitikberatkan ruang hijau atau taman untuk aktiviti pembelajaran kanak-kanak, bersosial dan bersukan.

Menurutnya, ia dapat dilihat melalui pembinaan banyak taman yang menonjolkan ciri kehijauan di Copenhagen seperti Taman Raja Rosenborg, Taman Romantik Frederiksberg, Taman Baroque Fredensborg, Taman Botani, Taman Sensori Faelledparken dan taman konsep Inggeris di Hospital Bispebjerg.

Paparan seterusnya adalah elemen bandar yang mengetengahkan tarikan di Copenhagen yang merangkumi bandar bersejarah iaitu Aarhus (bandar tertua Skandinavia), Muzium Tiga Era Den Gamle By, laluan pejalan kaki terpanjang di dunia, institut pengajian dan taman tema.

“Ramai tidak mengetahui laluan pejalan kaki terpanjang di Eropah terletak di tengah-tengah bandar raya Copenhagen dan laluan berkenaan turut digelar ‘Stroget.’

“’Stroget’ adalah tempat yang perlu dilawati jika melawat Copenhagen bagi mengetahui bagaimana laluan itu berkembang selain menjadikan lawatan anda lebih bermakna,” katanya.

Berkongsi pengalaman sepanjang berada di Copenhagen, Dr Shureen Faris berkata, beliau juga seperti insan lain yang berada di perantauan iaitu merindui keluarganya di kampung halaman apabila berjauhan.


BERSAMA dua cahaya matanya, Adam Faris dan Addin Faris ketika di Denmark.

“Perasaan sedih, sunyi dan janggal berada di negara orang tidak dapat dielakkan meskipun dua anak saya Adam Faris Mahayudin, 17, dan Addin Faris Mahayudin, 15, dibawa bersama.

“Saya ambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri di sana dan paling sukar apabila kedatangan saya di Copenhagen ‘disambut’ musim sejuk melampau pada suhu negatif 15 darjah Celsius,” katanya.

Dr Shureen Faris berkata, setiap kali musim sejuk pula beliau perlu menyodok salji berdekatan kawasan kediamannya kerana itu peraturan ditetapkan kerajaan Denmark.

“Sekiranya ada orang terjatuh atau cedera akibat salji yang terdapat di kawasan kediaman penduduk, mereka akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan di sana.

“Bayangkan, betapa sukarnya saya yang bertubuh badan kecil ini untuk menyodok salji setiap hari dan ditambah pula dengan jadual padat sebagai penuntut,” katanya.


MENYODOK salji di kawasan rumah antara rutin Dr Shureen Faris yang ia menjadi peraturan di Denmark.

Katanya, selain menguruskan anak di sekolah antarabangsa di sana, beliau juga perlu mengendalikan kelas untuk penuntut ijazah sarjana muda dan sarjana yang menjadi syarat wajib pengajiannya.

“Ia satu tugas mencabar kerana perlu berhadapan dengan penuntut di sana yang bijak dan banyak ragam.

“Saya agak terkejut kerana keadaan itu terlalu berbeza dengan budaya penuntut di negara ini yang lebih selesa mendengar berbanding komunikasi dua hala di dewan kuliah,” katanya.

Jelasnya, setiap hari beliau akan bangun jam 3 pagi untuk membuat tugasan dan penyelidikan kemudian menguruskan anak sebelum ke kuliah.

“Saya mengambil masa selama 45 untuk sampai ke universiti kerana menaiki basikal dari rumah ke stesen bas sebelum ke stesen kereta api untuk sampai ke universiti,” katanya.

Bercerita lanjut, Dr Shureen Faris berkata, antara pengalaman tidak boleh dilupakan pada November 2012 iaitu saat hendak menghantar draf akhir tesis kepada pensyarah.


HARI pertama di Universiti Copenhagen.

“Pada hari itu saya demam, saya mengayuh basikal ke farmasi bersebelahan stesen bas untuk membeli ubat demam tetapi dilanggar sebuah kereta menyebabkan jatuh terduduk.

“Serta-merta saya menangis bukan kerana sakit terjatuh tetapi lebih kepada mengenangkan nasib diri yang diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga.

“Ini kerana pelbagai cabaran terpaksa saya harungi sepanjang menjadi penuntut PhD di Copenhagen yang benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikal,” katanya.

Menurutnya, ramai bertanya kepadanya mengapa memilih Denmark sebagai destinasi tempat beliau membuat PhD.

Jawapannya, dia mahu meneroka budaya dan cara pembelajaran di negara Skandinavia itu.

“Tambahan pula penyelidikan tesis PhD saya berkenaan taman terapi dan Denmark memang mempunyai ramai pakar dalam bidang berkenaan di samping banyak taman terapi.

“Di sana ada banyak taman moden dan taman tradisional. Ketika mula-mula tiba di Denmark, saya menyangka taman moden lebih digemari ramai, namun saya silap kerana penduduk negara itu lebih menyukai taman tradisional disebabkan banyak elemen hijau yang boleh mengurangkan tekanan,” katanya.


DR SHUREEN Faris (dua dari kanan) bersama pensyarah di Universiti Conpenhagen.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam seni bina landskap dan menjadi tenaga pengajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memberikan pesanan kepada mereka yang berminat melanjutkan pengajian di Denmark, supaya pergi ke negara itu dengan minda terbuka kerana tujuan ke sana adalah untuk menuntut ilmu dan menimba pengalaman baru.

“Be prepared for bad, good and ugly.’ (Bersedia menghadapi keadaan yang buruk, baik dan hodoh). Pada masa sama kena sedar asal usul kita.

“Rakyat Denmark adalah satu-satunya masyarakat dari negara Skandinavia yang boleh berbahasa Inggeris dan di sana juga mudah untuk mendapatkan makanan halal,” katanya dan menambah pengalaman menjejakkan kaki dan belajar di Denmark kini menjadi pengalaman manis dalam hidupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 12:00 PM