GAMBAR kenangan dirakam selepas program itu.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Menambah baik infrastruktur Jambatan Sungai Manong, Miri, Sarawak yang menjadi laluan utama kanak-kanak dua rumah panjang, Rumah Mayung dan Rumah Senju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Manong, antara usaha dilaksanakan menerusi program Airports@Community, baru-baru ini.

Program kerjasama antara Malaysia Airports, mahasiswa Universiti Malaya (Care4All@Sibuti) dan Alumni Teach For Malaysia (TFMA) itu bertujuan membangunkan nilai sosial, pendidikan dan kesihatan komuniti di pedalaman negeri itu.

Malah program tanggungjawab sosial korporat itu memberi manfaat kepada hampir 480 penduduk di dua rumah panjang berkenaan.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata sempena permulaan sesi persekolahan 2018, Malaysia Airports ingin menjadi sebahagian pihak dalam membantu pelajar luar bandar, terutama di SK Sungai Manong bagi memudahkan anak ini ke sekolah setiap hari.

“Jambatan Sungai Manong adalah medium utama buat pelajar dari dua rumah panjang ini untuk ke sekolah.

“Melalui aktiviti penambahbaikan jambatan ini, diharap ia dapat menggalakkan motivasi anak ini untuk ke sekolah setiap hari.

“Selain itu, kami juga melakukan aktiviti mengecat sekolah berkenaan sekali gus mencipta suasana lebih kondusif dan ceria.

“Kami juga berharap menerusi program ini, kehidupan komuniti rumah panjang ini dapat dipertingkatkan dan mengeratkan lagi hubungan Malaysia Airports dengan masyarakat sekeliling terutama yang berada di sekitar lapangan terbang, tempat kami beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Selain itu, Malaysia Airports turut melakukan penyerahan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Mayung dan SK Sungai Manong menerusi Pegawai Strateginya, Azli Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 2:15 PM