PESERTA bergambar kenangan
HM Digital

MSU College Shah Alam menerusi Unit pembangunan Pelajar (UPP) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor menganjurkan program Dare to Lead Boot Camp bertempat di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Program yang membabitkan seramai 60 penuntut dari pelbagai bidang pengajian itu bertujuan memberikan pendedahan awal mengenai asas pertolongan cemas yang meliputi insiden kebakaran, kecederaan akibat kemalangan jalan raya dan lain-lain lagi.

Terdapat dua kategori pembelajaran dijalankan iaitu teori dan praktikal.

Peserta turut menyaksikan demonstrasi teknik memberi bantuan awal kepada mangsa yang pengsan, patah anggota badan ataupun luka, pemadaman api menggunakan pili bomba dan alat pemadam api.

Selain diberikan pendedahan mengenai etika dan disiplin kerja pasukan bomba, peserta juga didedahkan dengan teknik dan kemahiran membuat keputusan mengikut situasi dan suasana kejadian yang berisiko dan mencabar.

Menurut seorang peserta, Dzia Afiq Dzia Uddin, program itu berupaya memantapkan jati diri penuntut sekali gus membuka mata mengenai skop kerjaya anggota bomba dan penyelamat.

“Ternyata bukan semua orang boleh melakukan tugas berat dan berbahaya seperti mereka yang sentiasa berdepan dengan risiko.

“Saya dan rakan teruja kerana berpeluang menimba ilmu dan pengalaman daripada pegawai bomba yang terlatih dan berpengalaman,” katanya.

Menerusi aktiviti dan kolaborasi yang terjalin antara kedua-dua pihak ini, ia berjaya memupuk semangat setia kawan dan sentiasa bersedia bagi menangani sesuatu kejadian yang tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 2:13 PM