PESERTA yang menyertai Konvoi Bermotor.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin_mat@hmetro.com.my

Cuaca tidak menentu bukan penghalang kepada 68 peserta motosikal kuasa tinggi menyertai Konvoi Bermotor selama empat hari ke beberapa daerah di Pahang, baru-baru ini.

Walaupun terpaksa meredah hujan ketika dalam perjalanan namun semangat tinggi ditunjukkan peserta nyata mengatasi segala-galanya.

Bukan keseronokan semata-mata yang diingini peserta dalam menyertai program berkenaan tapi ia secara tidak langsung menitik beratkan aspek menunggang motosikal dengan cara selamat.

Program terbabit adalah anjuran Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 3 dengan kerjasama Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Pelepasan peserta konvoi disempurnakan Yang Dipertua MPAJ Abd Hamid Hussain di Menara MPAJ dan turut dihadiri legenda sukan permotoran negara, Wazi Abdul Hamid.

Pengarah Urusan Rasniaga Motosport yang juga peserta konvoi Zuhairi Abdullah berkata, penganjuran program berkenaan membuktikan keprihatinan peserta terhadap isu keselamatan motosikal.

“Penunggang dan pembonceng motosikal antara kelompok paling berisiko terbabit dalam kecelakaan, malah yang tertinggi menjadi mangsa kemalangan jalan raya.

“Bilangan itu sentiasa meningkat setiap tahun dan paling menyedihkan ramai yang terkorban,” katanya.


ABD Hamid melepaskan peserta Konvoi Bermotor.

Pihaknya selaku penganjur utama program itu menyedari risiko yang sentiasa menanti peserta, namun tetap mengutamakan aspek keselamatan.

“Memang kita tidak boleh menolak takdir tapi langkah berjaga-jaga ketika menunggang motosikal diutamakan lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya.

Sementara itu Abd Hamid berkata, objektif konvoi itu adalah untuk mengeratkan hubungan persahabatan dan mendidik peserta supaya lebih berhemah ketika menunggang motosikal.

“Kita tahu menunggang motosikal lebih memberi kepuasan dan keseronokan di samping kemudahan untuk bergerak.

“Namun, dalam keseronokan itu janganlah leka dengan aspek keselamatan diri kerana kecelakaan boleh berlaku tanpa diduga.

“Tapi kita boleh mengelaknya dengan kesedaran dan pengetahuan. Dari segi pemakaian hingga cara menunggang yang betul semuanya perlu dititik beratkan,” katanya.

Beliau berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan modal insan proaktif dan responsif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 1:28 PM