NURULHUDA obses dengan aktiviti pulau tempatan dan luar negara
Shuhada Mansor
rencana@hmetro.com.my

Setiap pulau ada identiti dan keunikannya tersendiri. Walaupun ada yang menganggap pulau adalah sama kerana dikelilingi lautan biru dan pasir putih, namun Nurulhuda Md Aris, 33, melihat keindahan destinasi itu dari sudut berbeza.

Berbicara berkenaan obsesnya itu, Nurulhuda berkata, setakat ini dia sudah menjejakkan kaki di lebih 20 pulau sama ada di dalam atau luar negara.

“Saya sangat ‘gilakan’ pulau. Boleh dikatakan sekali dalam tempoh dua bulan, saya akan mengambil cuti dan menghabiskan masa di pulau.

“Sama ada pergi sendiri atau berteman, pulau sentiasa menjadi pilihan.

“Antara pulau pilihan saya di Malaysia adalah di Kepulauan Mersing.

“Seperti kita tahu, ada lebih 20 pulau di kawasan itu tapi yang paling saya suka adalah Pulau Rahsia dan Pulau Aur.

“Selain itu, saya juga jatuh cinta dengan Pulau Tioman dan Pulau Kapas. Tenang dan laut biru yang bersih,” katanya.

Ada kelainan setiap satu

Apa seronoknya menghabiskan masa bersantai di pulau berbanding berkhemah di hutan atau destinasi lain?

Nurulhuda berkata, dia melihat setiap pulau ada kelainan masing-masing.

“Contohnya, kalau hendak bandingkan Pulau Kapas dan Pulau Perhentian cukup jauh beza. Pulau Kapas lebih kepada untuk bersantai dan suasananya tidak bising

“Sementara Pulau Perhentian pula seperti kita tahu pelancong ke sana agak ramai dan kebanyakan bukan saja melakukan aktiviti air atau terjun cenuram (cliff jump) kerana mereka memilih untuk berhibur dan sebagainya,” katanya.


KEINDAHAN laut menjadikan Nurulhuda dekat dengan aktiviti pulau.

Nurulhuda berkata kebanyakan orang bercuti di pulau untuk melakukan aktiviti seperti snorkeling, menyelam skuba dan santai sambil menikmati keindahan pantai.

“Tapi saya ke pulau untuk mencari perbezaan dan lakukan aktiviti berbeza seperti terjun cenuram, memanjat gunung sekiranya ada bukit dan tanah tinggi di kawasan berhampiran, bukan cuma fokus kepada aktiviti air semata-mata.

“Tidak semua pulau mempunyai kehidupan laut seperti batu karang. Ada yang cuma menawarkan keindahan pantai. Oleh itu, saya harus tahu apa kelebihan dan kekurangan pulau itu sebelum ke sana. Kalau bosan di pantai, saya akan keluar beramah mesra dengan penduduk tempatan. Duduk sambil berkongsi cerita,” katanya.

Definisi tenang cara sendiri

Bukan hanya keluarga dan rakan, setiap orang yang mengenali Nurulhuda pasti tahu obsesnya terhadap pulau.

“Saya sering ditanya apa menariknya bercuti di pulau kerana saya agak kerap ke sana. Sebenarnya susah untuk menjelaskan definisi tenang cara saya sendiri.

“Tapi apa yang saya boleh katakan, jika seseorang itu rasa gembira dengan mendaki gunung dan melihat kehijauan alam, saya senang melihat biru laut, ombak serta pasir pantai yang putih.

“Selain Pulau Kapas, Pulau Karimunjawa di Indonesia antara yang paling tidak boleh saya lupa. Daripada jernih air laut, pemandangan keseluruhan pulau hingga penghuninya, cukup indah,” katanya.


MELIHAT penyu di pesisir pantai antara pengalaman Nurulhuda.

Malah kerjayanya sebagai penganjur aktiviti lasak kini memerlukan dia untuk keluar mencari dan meneliti lokasi baru sebelum membawa orang lain.

“Ia ibarat bonus untuk saya kerana membolehkan saya ke pulau di dalam dan luar negara selain mencari sisi unik satu-satu destinasi itu untuk ditonjolkan kepada orang lain,” katanya.

Sejak beberapa tahun lalu hingga sekarang, Nurulhuda tidak pernah berhenti untuk menjejakkan kaki ke pulau baru malah makin teruja untuk meneliti pemandangan dan bentuk geografi yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 11:05 AM