RIBUAN mahasiswa di seluruh negara tamat pengajian.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Bidang pendidikan pengajian tinggi sentiasa berkembang dan berubah sejajar dengan perubahan zaman.

Transisi global dengan teknologi telekomunikasi dan Internet menuntut banyak cabaran supaya mahasiswa bersikap proaktif dengan perkembangan pendidikan sama ada di dalam atau luar negara.

Mahasiswa pada hari ini harus memperlengkapkan diri ke arah global untuk bersaing dengan puluhan ribu graduan selepas tamat pengajian dalam mencari peluang kerjaya.

Oleh itu, pengantarabangsaan dalam konteks pengajian tinggi di Malaysia bermatlamat mempertingkatkan keupayaan dan keperkasaan setanding sistem pengajian tinggi lain yang terbaik di peringkat antarabangsa.

Dua strategi asas yang dijadikan fokus ke arah mencapai matlamat di atas ialah pengantarabangsaan pengajian tinggi di Malaysia.

Pada masa sama menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat antarabangsa.

Di dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang bertemakan Perletakan Batu Asas Melangkaui 2020, kerajaan sudah menggariskan tujuh teras strategik yang menjadi asas kepada pembangunan pengajian tinggi negara.

Pengantarabangsaan adalah teras kelima di dalam pelan strategik itu.


GRADUAN serba boleh sentiasa memenuhi kehendak majikan.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Zaleha Yazid berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 menggariskan 10 lonjakan utama bagi mencapai kecemerlangan pendidikan tinggi Malaysia yang bertaraf dunia.

Salah satu daripadanya ialah lonjakan ke arah mencapai keunggulan global.

Katanya, dalam konteks pengantarabangsaan, salah satu elemen utama kepada tegaknya universiti ialah mahasiswa itu sendiri.

Dalam melaksanakan pelan strategik bagi mencapai matlamat yang ditetapkan itu, ‘pengantarabangsaan’ yang dimaksudkan bukan hanya berpaksikan ke arah mengantarabangsakan universiti, tapi mahasiswa di universiti itu sendiri juga harus ‘diantarabangsakan.’

“Pengantarabangsaan mahasiswa bukanlah untuk menghakis jati diri dan semangat kebangsaan sebagai rakyat Malaysia, tapi ia menjurus ke arah mempersiapkan golongan itu sebagai generasi muda bagi menghadapi cabaran pada era digital dan globalisasi.

“Ini yang disebut sebagai konsep berfikir global, bertindak lokal atau ‘think globally, act locally.’

“Justeru, universiti di negara ini harus menerajui agenda pengantarabangsaan mahasiswa yang bakal menjadi pemangkin bagi memperkayakan interaksi, pengalaman dan pendedahan di peringkat global,” katanya.



MAJIKAN mahukan graduan memiliki kemahiran lengkap.

Jelas beliau, soal pengantarabangsaan mahasiswa juga berkait rapat dengan isu kebolehpasaran graduan universiti.

Katanya pendedahan global sesungguhnya akan memberi impak besar kepada peningkatan kemahiran dan keyakinan mahasiswa terutama dalam aspek komunikasi, kemahiran berfikir aras tinggi dan juga elemen di dalam kemahiran insaniah.

“Kajian yang dijalankan International Employer Barometer (IEB) bertajuk Graduate Employability: The Views of Employers mendapati lebih 85 peratus majikan menganggap kemahiran berkomunikasi dengan baik sangat penting dalam proses pengambilan pekerja.

“Dalam hal ini, keupayaan melaksanakan agenda pengantarabangsaan membabitkan mahasiswa tidak harus hanya terhad kepada aktiviti mengadakan lawatan sambil belajar ke luar negara saja atau aktiviti rutin yang lain.

“Pengurusan universiti harus kreatif dalam merencanakan bentuk program dan pengisiannya. Sekarang boleh dikatakan semua universiti awam di Malaysia sudah mewujudkan unit atau jabatan yang bertanggungjawab berkenaan agenda pengantarabangsaan ini,” katanya.


KEMAHIRAN dimiliki membolehkan graduan menjadi usahawan.

Dr Zaleha berkata, kejayaan agenda pengantarabangsaan bergantung kepada kesungguhan pihak pengurusan universiti, pensyarah dan juga mahasiswa itu sendiri.

Pihak universiti tidak hanya perlu mengharap kepada peruntukan yang disalurkan kerajaan, tapi harus kreatif dalam menjana kewangan sendiri melalui pelbagai cara seperti penubuhan dana ‘endowmen’, ‘crowdfunding’ dan jaringan dengan pihak industri bagi mendapatkan dana.

“Pensyarah juga harus memberikan komitmen dalam menjayakan agenda pengantarabangsaan ini.

“Bagi mahasiswa pula, anjakan minda, sikap dan paradigma sangat diperlukan supaya mereka menyedari bahawa dalam era transformasi yang cukup kompetitif ini, pendedahan keantarabangsaan sangat mustahak untuk berhadapan dengan tanggapan pelbagai oleh industri dan pasaran pekerjaan,” katanya.

Katanya, kejayaan agenda pengantarabangsaan terutama dalam konteks mengantarabangsakan mahasiswa universiti di Malaysia sangat bergantung kepada komitmen dan kesungguhan semua pihak.

Katanya, masa depan negara bergantung kepada kebolehan graduan yang bakal menjadi pemimpin dan tenaga kerja berkemahiran dalam memajukan negara untuk mengharungi zaman mendatang penuh dengan cabaran.


JADILAH graduan yang serba boleh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 2:37 PM