PROGRAM Touch Point Cabinet Away Day dilaksanakan sejak tahun lalu.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Program Touch Point Cabinet Away Day anjuran Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis berjaya melaksanakan kerja baik pulih 23 rumah penduduk daif sejak tahun lalu.

Rumah daif yang dibaiki itu, membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kayang, Kuala Perlis dan Indera Kayangan.

Menurut Pengarah PTSS, Dr Mohd Zahari Ismail, pihaknya menerusi Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memperuntukkan RM115,000 untuk kerja pembaikan termasuk elektrik dan awam.

“Touch Point Cabinet Away Day 2017 Fasa 2 pada Januari baru-baru ini, pelajar didedahkan dengan membaik pulih pendawaian usang, pemasangan lampu, soket dan kipas.

“Bagi kerja awam pula, pelajar berpeluang dengan membaik pulih lantai simen dan bumbung rumah penduduk kampung yang rosak.

“Semua aktiviti dan kerja yang dijalankan dipantau pensyarah yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan,” katanya.


PENDAWAIAN elektrik turut dilakukan.

“Seramai 72 orang pelajar PTSS dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, pensyarah dan kakitangan menyertai program ini.

“Ia sekali gus melaksanakan aktiviti khidmat sosial Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut beliau, sebelum ini PTSS juga diberikan tanggungjawab membaik pulih 12 rumah penduduk daif dalam program yang dinamakan Touch Point Cabinet Away Day 2017 Fasa 1 di lima DUN Perlis.

Dr Mohd Zahari berkata, matlamat utama program itu untuk meningkatkan impak sosial melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran siswa dalam bidang TVET kepada isi rumah yang terbabit dengan projek ini.


KERJA pembaikan bumbung turut dijalankan

Malah keberhasilan yang disasarkan adalah peningkatan kualiti kehidupan golongan sasaran.

“Di samping itu juga, program ini bertujuan menggalakkan penuntut PTSS terbabit dalam aktiviti kesukarelawanan.

“Pada masa sama membuka peluang kepada penuntut PTSS untuk berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan.

“Program ini untuk memupuk semangat keprihatinan penuntut PTSS terhadap penduduk setempat selain membina hubungan erat dengan masyarakat di Parlimen Kangar,” katanya.


PENUNTUT gigih membancuh simen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 2:28 PM