SUKARELAWAN membantu anak-anak Orang Asli membaca.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Kelab Eleventh Volunteer, Sekretariat Sukarelawan Siswa Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Kesebelas (K11) sesi 2017/2018, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Jalinan Kasih @ Kampung Orang Asli, Hulu Langat Selangor, baru-baru ini.

Ia bagi menanam minat anak Orang Asli dalam menuntut ilmu di samping mengeratkan hubungan siswa dengan masyarakat desa.

Pengarah program, Siti Bassyirah Ibrahim, 23, berkata, program yang julung kali diadakan itu mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM serta aktiviti dijalankan mendapat sambutan masyarakat Orang Asli di kawasan itu.

“Seramai 46 mahasiswa K11, UPM terbabit dalam menjayakan program itu dan perancangan dilakukan secara telus supaya aktiviti yang kami jalankan mendapat sambutan Orang Asli,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya terpanggil menjalankan aktiviti itu kerana masih ramai anak Orang Asli tercicir dalam pelajaran.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pemprosesan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, UPM, S Suganthi, 22, berkata, dia begitu meminati aktiviti sukarela.

Ini kerana secara langsung menjadi tanggungjawab untuknya menyedarkan masyarakat kepentingan pendidikan di peringkat sekolah rendah ataupun institusi pengajian tinggi.

“Melalui program bersama pihak JAKOA ini, saya berasa bangga kerana sedikit sebanyak dapat membantu menaik taraf hidup masyarakat setempat dengan perkongsian ilmu bersama anak-anak Orang Asli,” katanya.

Rakannya, Nur Afifah Ngasri, 21, berkata, sebagai sukarelawan peranan pelajar universiti sangat penting dalam membantu masyarakat luar bandar melalui aspek pendidikan.

“Program ini bukan sahaja disertai kanak-kanak malah turut dihadiri golongan dewasa.

“Kami menggunakan pendekatan akademik yang dimulakan dengan aktiviti membaca dan mewarna,” katanya.

Tambah beliau, atas faktor tidak ramai masyarakat Orang Asli yang bersekolah, hanya segelintir daripada mereka mengenal huruf.

“Melihat gelagat anak-anak Orang Asli, mereka kebanyakan berasa malu namun selepas mengikuti aktiviti bersama sukarelawan, sedikit sebanyak mereka mula berinteraksi dengan baik,” katanya.

Selain itu, antara aktiviti diadakan termasuk ceramah, sukaneka dan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung bersama masyarakat setempat.

Sebelum ini Eleventh Volunteer pernah menganjurkan beberapa aktiviti kesukarelawanan seperti program bersama anak-anak yatim dan masyarakat Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 2:50 PM