PENGUNJUNG mencuba sudut interaktif untuk mendengar kompilasi lagu pop yeh yeh.
GITAR milik seorang artis legenda pop yeh yeh.
HM Digital

Irama pop yeh yeh mempunyai aura tersendiri menyebabkan muzik itu tidak lapuk ditelan zaman.

Ia kekal diminati meskipun muzik moden lebih mendominasi dunia hiburan masa kini.

Namun, generasi hari ini kurang mengenali artis yang mencetuskan fenomena irama pop yeh yeh satu ketika dulu.

Zam Zam dan The Twilitie, M Ishak dan The Young Lovers, Jaafar Ahmad dan The Wisma, M Rahmat dan The Teruna, A Rahman Hassan dan Orkes Nirwana, A Ramlie dan Rythmn Boys, M Osman dan The Mods, Jeffrydin dan The Siglap Five antara kumpulan pop yeh yeh yang terkenal di negara ini.

Bagi mengembalikan semula nostalgia kegemilangan muzik pop yeh yeh, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) mengambil inisiatif menganjurkan Pameran Muzik Pop Yeh Yeh di Muzium Negara.

Berlangsung dari 20 November lalu hingga 28 Februari ini, pameran berkenaan mempamerkan 23 artis legenda pop yeh yeh dari Malaysia dan Singapura.

Pengarah Muzium Muzik JMM Rohana Husin berkata, mengikut sejarah, muzik pop yeh yeh popular pada sekitar 1960-an dan kemunculannya adalah kesan pengaruh hebat kumpulan British, The Beatles, The Shadow dan The Rolling Stones kepada generasi muda di Malaysia serta Singapura.

“Anak muda tempatan mula menubuhkan kumpulan gitar rancak (kugiran) dengan meniru rentak lagu dan imej pemuzik dari Barat.

“Gabungan irama Melayu dengan muzik rancak Barat ini menghasilkan identiti muzik popular Melayu baru yang dikenali sebagai pop yeh yeh di Malaysia dan Singapura.

“P Ramlee juga turut mengikut rentak muzik pop ini melalui lagu ‘Bunyi Gitar’ menerusi filem Tiga Abdul pada 22 April 1964,” katanya kepada Nuansa.

Sekitar 1964 hingga 1970 adalah zaman kegemilangan irama pop yeh yeh di negara ini yang menyaksikan banyak kumpulan muzik berkenaan ditubuhkan sekali gus merancakkan lagi industri muzik tanah air ketika itu.

Menariknya menerusi pameran itu terdapat bahagian yang mengetengahkan koleksi barangan milik lima artis legenda pop yeh yeh iaitu Adnan Othman, Datuk Jeffrydin, Hussein Ismail, J Sham dan The Wanderers dan Datuk A Rahman Hassan.

“Antara barangan dipamerkan termasuk alatan muzik yang digunakan artis terbabit ketika persembahan pop yeh yeh iaitu gitar dan kelengkapan pakaian.

“Pameran ini dapat memberi gambaran lebih jelas kepada orang ramai untuk mengenali lebih mendalam berkenaan irama muzik berkenaan,” katanya.

Turut disediakan sudut interaktif bagi memberi peluang kepada orang ramai memilih artis dan tajuk lagu untuk didengari.

Hingga 21 Disember lalu, dianggarkan 10,553 pengunjung tempatan dan luar negara datang ke pameran berkenaan yang secara tidak langsung membuktikan muzik itu masih diminati hingga kini. -Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 12:40 PM