BERI peluang kepada anak anda untuk meneroka, jangan didesak dengan aktiviti belajar semata-mata.
IBU bapa antara yang paling gembira dengan kejayaan anak mereka.
KECEMERLANGAN akademik bergantung kepada diri pelajar itu sendiri.
MENGHADIRI tuisyen menjadi pilihan pelajar sekarang.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Jika dulu, hanya pelajar sekolah yang bakal menduduki peperiksaan menghadiri pusat tuisyen.

Kini zaman sudah berubah. Kanak-kanak kecil berusia empat, lima dan enam tahun sudah ada yang didaftarkan ke pusat tuisyen.

Berdepan silibus yang makin mencabar, pendekatan menghantar anak ke kelas tuisyen dilihat satu keperluan dan wajib dilakukan setiap ibu bapa.

Tiada yang dapat menafikan sudah menjadi kecenderungan dalam kalangan ibu bapa zaman ini menghantar anak ke pusat tuisyen atau mendapatkan khidmat tutor secara peribadi untuk anak mereka di rumah.

Keinginan tinggi untuk melihat kejayaan anak mereka setanding anak orang lain dalam pencapaian akademik di sekolah selalunya menjadi faktor utamasebahagian besar ibu bapa sanggup berbelanja lebih. Ini bagi memastikan anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Hasrat ini tidak sukar dipenuhi kerana pusat tuisyen yang tumbuh bagai cendawan di seluruh negara sentiasa bersedia menawarkan khidmatnya.

Bagi ibu bapa yang lebih berkemampuan, mengeluarkan sejumlah wang untuk menggaji guru memberi tuisyen khas untuk anak mereka di rumah bukanlah satu beban.

Tuisyen ialah satu perkhidmatan yang memberi bantuan, kepakaran dan latihan kepada pelajar dalam memahami pembelajaran mereka secara lebih mendalam serta terancang.

Perkhidmatan tuisyen ini memberi peluang kepada pelajar yang berbeza kemahiran atau penaakulan dan pemahaman di dalam kelas.

Ia tambahan bagi meningkatkan kemahiran dalam sesuatu subjek yang dipelajari di sekolah. Oleh itu, perkhidmatan tuisyen ini juga adalah keperluan bagi kumpulan tertentu.

Ketua Seksyen Psikoterapi dan Intervensi, Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, sebaik-baiknya tuisyen bermula seawal darjah empat ke atas membabitkan subjek yang tertentu dan perancangan masa yang sesuai serta tidak terlalu memberi tekanan kepada anak.

Katanya, tuisyen akan berkesan apabila ibu bapa juga turut memainkan peranan dengan mengambil berat prestasi anak dan bersama-sama memahami situasi pembelajaran mereka.

“Peringkat umur 10 tahun ke atas dianggap tahap umur yang sudah mampu untuk berfikir dengan lebih tersusun dan fokus kepada pelajaran.

“Tahap usia ini juga mereka sudah melalui fasa pembelajaran di sekolah selama tiga tahun. Pengalaman pembelajaran itu membolehkan mereka mulai membentuk matlamat secara tidak langsung,” katanya.

Katanya, usia tujuh tahun masih terlalu awal untuk anak dihantar ke pusat tuisyen yang memberi fokus tinggi kepada pembelajaran serta ulang kaji pelajaran.

Namun jika kanak-kanak seawal usia ini dihantar ke pusat membaca, sudah tentu ia tidak menjadi isu kerana latihan membaca tak sama dengan latihan di pusat tuisyen.

Siti Fatimah berkata, pada peringkat umur ini, kanak-kanak masih dalam fasa meneroka diri dan tempoh bermain.

“Anak boleh dibantu dengan memupuk minat membaca menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang lain berbanding terlalu awal menghantar mereka ke pusat tuisyen.

“Perlu diingatkan juga, anak tidak akan masuk universiti seawal tahun satu,” katanya.

Dewasa ini, sudah menjadi trend untuk menghantar anak seawal usia empat hingga enam tahun ke pusat tuisyen semata-mata mahu memastikan mereka bersedia untuk ke sekolah.

Ibu bapa turut tertekan dengan limitasi kepercayaan diri dalam memainkan peranan untuk membantu anak dalam pembelajaran.

Ada sesetengah ibu bapa sangat risau jika anak mereka masih tidak pandai membaca apabila masuk ke tahun satu.

Siti Fatimah berkata, kerisauan ini membuatkan ibu bapa terburu-buru mencari inisiatif yang lebih mudah iaitu menghantar anak ke pusat tuisyen.

Kesannya, ibu bapa terlupa akan kesediaan anak dan peranan sebenar yang boleh dilakukan untuk membantu mereka.

“Oleh itu, kerisauan yang timbul perlu diperincikan dengan usaha murni daripada ibu bapa sendiri iaitu meluangkan masa setiap hari untuk bersama-sama anak dalam membuat persediaan ke sekolah.

“Usaha ini adalah jauh lebih baik dan membantu mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak. Dalam hal ini, ibu bapa boleh mengenal pasti matlamat pembelajaran bersama anak mereka sambil melakukannya bersama.

“Paling tidak, ibu bapa perlu memperuntukkan masa 10 hingga 20 minit sehari untuk memupuk minat membaca serta belajar,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 27(1) Shah Alam, Selangor Mohd Johari Mohamed Sahar berkata, tuisyen ibarat ilmu tambahan kepada murid untuk meningkatkan pengetahuan dan menjadi teknik mengukuhkan pengetahuan sedia ada.

Katanya, sesuai dengan era pendidikan sekarang yang menekankan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KKSR) dan penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), pengetahuan murid perlu dijana secara optimum dan perlu datang dalam pelbagai medium.

“Ibu bapa yang sibuk bekerja dan mempunyai masalah dalam mengajar anak di rumah, tuisyen adalah jalan penyelesaian terbaik bagi membantu pendidikan si kecil.

“Namun begitu perlu memastikan guru tuisyen itu adalah guru yang mengajar di sekolah, bukan orang persendirian yang sekadar mencari duit untuk mengajar murid,” katanya.

Beliau yang Guru Pakar Bidang Sains berkata, usia tujuh tahun atau seawal tahun satu sesuai untuk mendapatkan proses pendidikan awal bagi menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira).

Namun perlu diberikan jadual yang tidak padat untuk memastikan anak tidak rasa terkongkong.

Sementara itu Guru Tuisyen Peribadi Shahrom Yazid, 50, berkata, bagi ibu bapa yang berkemampuan menghantar anak mereka ke pusat tuisyen menjadi keperluan.

Ini kerana murid yang lemah boleh dibimbing secara personal sementara yang bijak dapat diberikan tumpuan.

Malah beliau mempunyai pendapat tersendiri dakwaan sesetengah pihak apabila ibu bapa menghantar anak ke pusat tuisyen seawal darjah adalah tindakan kurang bijak.

“Guru yang berpengalaman berupaya memberikan ilmu dalam suasana santai tanpa mengetepikan naluri kanak-kanak.

“Biasanya murid yang menghadiri tuisyen, tahap penguasaan ilmu mereka satu langkah ke hadapan,” katanya yang juga guru di salah sebuah sekolah di Subang Perdana, Shah Alam.

Kebaikan dan keburukan tuisyen

Kebaikan

1. Jika bersesuaian dengan tahap usia, tuisyen memberikan satu persekitaran pembelajaran yang menarik bersama rakan.

2. Anak boleh membiasakan diri dengan kerja sekolah dan dilatih untuk menyiapkan latihan diberikan ketika di sekolah.

3. Mengisi masa dengan aktiviti yang bermanfaat.

4. Dapat membantu anak yang lemah dalam mata pelajaran secara konsisten tetapi wajib disertai dengan pemantauan dan sokongan tanpa had daripada ibu bapa.

5. Dapat meningkatkan keyakinan diri jika sesuai.

6.Melatih anak untuk melalui proses pembelajaran dalam kumpulan yang kecil.

Keburukan

1. Boleh memberikan tekanan emosi jika didesak.

2. Anak terpaksa menjadi taruhan kepada kehendak dan keinginan ibu bapa untuk melihat mereka berjaya.

3. Boleh berlaku penderaan emosi apabila dipaksa menghadiri tuisyen pada usia terlalu awal seperti empat hingga tujuh tahun.

4. Anak mungkin dipersalahkan atau dimarahi jika masih tidak pandai walaupun sudah menghadiri tuisyen.

5. Mungkin menimbulkan rasa kurang selesa dalam diri anak jika didesak menghadiri tuisyen kerana mereka tidak pandai berbanding rakan yang lain.

6. Pemilihan pusat tuisyen yang salah atau tidak sesuai juga memberikan impak negatif. Sebaiknya, tanya anak anda secara baik berkenaan persekitaran sosial di pusat tuisyen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 1:55 PM