LADANG ternakan kuda di UPM sentiasa dikunjungi orang ramai.
RUMAH Serambi Pahang antara tarikan di UPM.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat sejarah apabila tersenarai pada kedudukan ke-27 terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2017 berdasarkan usaha kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitarnya.

Keputusan itu juga menjadikan UPM berada pada kedudukan ketiga di Asia, kedua di Asia Tenggara dan mengekalkan kedudukan pertama dalam negara selama lapan tahun berturut-turut sejak penarafan itu diperkenalkan pada 2010.

Malah penarafan yang mengukur komitmen setiap universiti membangunkan infrastruktur mesra persekitaran itu berjaya menarik perhatian 619 universiti seluruh dunia untuk menyertainya.

Empat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan yang mendapat kedudukan 100 terbaik ialah Universiti Malaya (UM) pada kedudukan ke-34, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada kedudukan ke-37, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada kedudukan ke-66 dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada kedudukan ke-83.

Ranking UI-Greenmetric yang menilai usaha kelestarian alam sekitar itu mempunyai lebih daripada 40 indikator meliputi enam skop utama iaitu keluasan tanah & infrastruktur (15 peratus), tenaga dan perubahan iklim (21 peratus), sisa buangan (18 peratus), air (10 peratus), pengangkutan (18 peratus) dan pendidikan (18 peratus).

Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris mengulas kejayaan itu adalah hasil komitmen UPM terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Ia melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan.

“UPM mencatatkan peningkatan terutama dalam indikator pengangkutan dan infrastruktur seperti saiz dan infrastruktur keluasan tanah hijau selain penggunaan tenaga yang cekap serta peningkatan fasiliti dan penggunaan basikal di kampus,” katanya.

Keputusan yang dikeluarkan pada 13 Disember lalu menyaksikan universiti dari Amerika Syarikat dan Eropah mendominasi kedudukan 20 teratas.

Pada Mei lalu, usaha UPM memperkasakan kelestarian kampus hijau juga membolehkan UPM memenangi Anugerah Kursi Tan Sri Dr Ali Hamsa dan menerima geran berjumlah RM300,000 untuk tempoh tiga tahun sempena Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 1:44 PM