SEBAHAGIAN ujian yang perlu dilalui murid darjah satu.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Tangisan enggan ditinggalkan ibu bapa, berkepit dengan beg baru, berkenalan dengan rakan baru dan mengantuk antara gelagat segelintir murid yang mencuri tumpuan setiap kali bermulanya sesi persekolahan tahun satu.

Hari ini sesi persekolahan 2018 sudah bermula di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Sementara di negeri lain bakal memulakan persekolahan esok.

Bagaikan sudah menjadi budaya, sebahagian besar ibu bapa bukan saja sanggup mengorbankan waktu bekerja atau senggang, malah sanggup berdiri berjam-jam di sekolah semata-mata mahu menyaksikan hari pertama anak di sekolah.

Situasi itu dialami semua ibu bapa yang merasai pengalaman pertama menghantar anak darjah satu ke sekolah dan ia adalah normal.

Kerisauan ini berbeza dan meningkat apabila anak yang dihantar adalah anak pertama dalam keluarga sekali gus menjadi pengalaman pertama bagi ibu bapa.


MINGGU orientasi bagi membantu murid berdepan persekitaran sekolah.

Membincangkan persediaan awal itu, Pegawai Psikologi, Seksyen Pembangunan Kendiri dan Akademik Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM) Rafidah Sadarudin berkata, sebelum ini kebanyakan ibu bapa menunggu di sekolah untuk memerhatikan anak.

Sedikit sebanyak perkara ini memberi ketidakselesaan kepada guru untuk menjalankan tugas mereka.

Katanya, berilah kepercayaan kepada guru kerana mereka guru terlatih untuk mendidik anak.

“Insya-Allah mereka (guru) bijak dalam melaksanakan tugas, data ibu bapa juga ada pada mereka. Jika ada perkara kecemasan mereka akan berhubung dengan ibu bapa dengan kadar segera.

“Percayalah guru akan buat sehabis baik,” katanya.


ANTARA gelagat yang mencuri tumpuan pada minggu orientasi.

Bagaimanapun, katanya, persediaan ibu dan bapa dari segi emosi dan fizikal perlu diutamakan supaya anak bersedia serta mampu berdikari, merasa suka, teruja atau gembira di sekolah kelak.

Katanya, sematkan perasan positif pada anak berkenaan sekolah iaitu ibu bapa boleh kongsikan peristiwa manis semasa mula-mula bersekolah dahulu, elakkan bercerita yang negatif dan menakutkan.

Jelasnya, ibu bapa boleh ajak anak berjalan di luar kawasan sekolah dalam tempoh seminggu atau sehari sebelum sekolah bermula supaya mereka tahu inilah sekolah yang bakal menjadi tempat menuntut ilmu.

“Malam sebelum sesi persekolahan bermula juga duduk bersama anak dalam keadaan selesa.

“Minta mereka bayangkan persekolahan esok sebagai hari baik, tenang, jumpa ramai kawan baru, jumpa cikgu baik, belajar perkara baru dan sekolah yang bagus.

“Ini menjadikan mereka sangat seronok atau tidak sabar ke sekolah,” katanya.


GELAGAT murid menangis perkara normal bagi murid darjah satu.

Katanya, sebagai ibu bapa sebaik-baiknya pastikan anak mahir dengan perkara asas seperti membaca, menulis dan mengira supaya ketika ujian saringan kelas kelak mereka benar-benar bersedia.

Katanya, sekiranya ada perkara yang guru kelas perlu tahu umpamanya dari segi kesihatan anak, perkara ini perlu dimaklumkan supaya jika berlaku kecemasan pihak sekolah mempunyai maklumat dan bersedia dengan sebarang bantuan.

“Tidak lupa juga, ajar anak untuk kira duit supaya mereka cekap dan tahu berapa baki jika membeli makanan di kantin,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Petaling 2, Kuala Lumpur Razali Muda berkata, tidak salah jika ibu bapa mahu menemani anak pada minggu pertama persekolahan kerana ia memberi peluang kepada mereka melihat kemampuan anak menyesuaikan diri.

Menurutnya, pihaknya sedia maklum ramai ibu bapa kurang yakin dengan kemampuan anak mereka mengharungi suasana baru di sekolah.



GURU memujuk seorang murid untuk menjawab soalan.

“Sekolah memang beri kelonggaran kepada ibu bapa berada di kawasan sekolah sepanjang minggu pertama sesi persekolahan.

“Ia sebagai tanda prihatin kami untuk meredakan kebimbangan ibu bapa terhadap kemampuan anak mereka dalam aspek pengurusan diri.

“Mereka juga dapat melihat proses pembelajaran dan pengajaran yang perlu diikuti anak masing-masing, sekali gus memahami proses yang perlu diharungi sepanjang sesi persekolahan berlangsung,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kelonggaran itu perlu dibatasi dengan kewajaran tertentu.

“Antaranya, ibu bapa diingatkan tidak mengganggu proses pembelajaran anak ketika di dalam kelas. Ia akan mengganggu konsentrasi guru dan murid lain.

“Namun, secara keseluruhannya ibu bapa sangat memahami. Sekolah juga menyediakan dewan dan kantin untuk ibu bapa sementara menunggu waktu rehat,” katanya.


PERANAN guru penting untuk menyesuaikan suasana persekolahan.

Katanya, antara yang merisaukan ibu bapa pada hari pertama persekolahan ialah penyesuaian anak terhadap lokasi tertentu seperti bilik darjah, tandas dan kantin.

“Ini antara yang sering diutarakan kepada pihak sekolah kerana mereka masih kurang yakin dengan keupayaan anak.

“Untuk itu, kami sudah bersedia awal, antaranya menyediakan ramai guru untuk membantu murid, melekatkan tanda arah dan rujukan tertentu,” katanya.

Razali turut memberi pandangan positif kerana kini tidak ramai lagi murid tahun satu menangis atau meragam pada hari pertama persekolahan.

Antara kerisauan ibu bapa:

a. Risau anak beli barang makanan di kantin, betulkah kiraan duitnya, sempatkan dia makan?

b. Risau dapatkah anak uruskan diri dan biasakan diri di tandas sekolah, tempat yang baru bagi mereka?

c. Risau anak kena buli

d. Risau anak tidak mampu berdikari

e. Risau anak terlepas pengangkutan balik sekolah

f. Risau anak dapat kelas akhir apabila ada ujian saringan kelas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 2:58 PM