ORANG India tidak ketinggalan mengadakan persembahan tarian kebudayaan.
PENGUNJUNG melawat pameran barangan antik yang terdapat di Festival Warisan Kajang.
HM Digital

Kira-kira 17 tahun lalu, masyarakat Kajang tidak berminat dengan warisan budaya dan sejarah di daerah berkenaan meskipun ia adalah antara daerah yang menyimpan banyak kisah menarik.

Usaha seorang pengkaji sejarah tempatan yang cuba memperkenalkan perkara itu kepada penduduk di Kajang dipandang sepi begitu saja.

Namun, beliau tidak pernah berputus asa dan tanpa sedikit pun perasaan jemu dia tetap meneruskan usaha itu dan akhirnya lima tahun lalu, kerja yang dipandang sepi oleh masyarakat akhirnya membuahkan hasil.

Tindakan Lee Kim Sin membuka Pusat Warisan Komuniti Kajang (PWKJ) dan mengadakan program berkaitan warisan budaya menjadi titik perubahan itu dan masyarakat mula menyedari kepentingan sejarah serta keperluan untuk memeliharanya.

Ia dibuktikan apabila ramai penduduk Kajang menyumbangkan barangan antik di pusat berkenaan untuk tujuan pameran.

Terbaharu, Lee menjadi tunjang utama penganjuran Festival Warisan Kajang yang julung kali diadakan dilihat dapat menyemarakkan semangat itu.

Lee berkata, program itu unik kerana diadakan dalam dua acara serentak di lokasi berbeza iaitu Pameran Interaktif Kesenian serta Budaya di Jalan Mendaling, Kajang serta Seminar Sejarah dan Warisan Kajang di Hotel Prescott, Kajang.

Beliau berkata, tujuan program berkenaan untuk memperkayakan budaya dan warisan Kajang yang masih tidak diketahui umum.

“Selain ada pembentangan kertas kerja mengenai sejarah Kajang, terdapat 30 pameran daripada masyarakat Cina, Melayu, India dan Orang Asli terbabit dalam program ini.

“Menariknya setiap peserta pameran mengetengahkan seni kraf tangan masing-masing dan pengunjung terutama generasi muda berpeluang mencuba antaranya menganyam ketupat,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, satu perkara yang ingin didedahkan dalam program itu ialah Kajang mempunyai ramai seniman termasuk pelukis dan pembuat kraf tangan tetapi tidak ramai yang mengetahui kewujudan mereka.

“Di pekan Kajang terdapat kedai ubat Cina tradisional yang lebih dikenali dengan panggilan ‘singse’ dan tukang pembuat besi adalah sebahagian warisan seni di sini.

“Semua ini sebenarnya mempunyai nilai penting dan perlu dikekalkan terutama pada masa ini kerana Kajang sedang mengalami tranformasi pembangunan pesat menyebabkan elemen tradisional semakin hilang,” katanya.

Menurutnya, pembangunan di Kajang sudah berlaku sejak 1990 apabila ramai memilih bandar itu sebagai tempat tinggal ekoran kepadatan penduduk di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Selain itu katanya, ramai golongan profesional dan orang luar berpindah ke Kajang, itu juga satu kelebihan yang belum dikenal pasti dan sudah tentu kepakaran mereka boleh digunakan untuk pembangunan warisan sejarah.

“Pada masa akan datang, saya akan cuba menarik lebih ramai golongan muda untuk terbabit dengan aktiviti warisan sejarah ini supaya mempunyai pelapis pengkaji sejarah Kajang,” katanya yang 17 tahun terbabit dalam penyelidikan sejarah. -Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 3:47 AM