FOTO bayang ketika matahari terbit menambah kepuasan ketika mendaki di Malaysia.
PANORAMA hutan berlumut menjanjikan kepuasan pendaki menikmatinya.
MERANDUK sungai antara cabaran dalam pendakian di gunung Malaysia.
AWAN karpet juga boleh dilihat di beberapa puncak gunung Malaysia.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Awan putih berarak perlahan menutup suluhan sinar matahari yang membahang. Kadangkala hujan lebat turun tanpa disangka. Pokok yang sudah berusia ratusan tahun setia menjadi payung dan menambah seri untuk setiap perjalanan pengembaraan golongan pendaki.

Sepanjang menimba pengalaman sebagai pendaki, jarang sekali penulis mendengar ada pendaki baru yang meneroka gunung Malaysia terus menggantung beg galas mereka selepas kali pertama merasai pengalaman mendaki di mana-mana gunung tempatan.

Malah, ada antara mereka terus ketagih meneroka dari satu puncak ke satu puncak gunung di Malaysia yang sememangnya cukup terkenal dengan laluan basah, berlumpur dan paling indah ada antara laluannya menjadi lubuk permainan sang pacat.

Itu belum lagi kisah rakan pendaki yang terkandas kerana kepala air jatuh ketika ingin merentas sungai, pokok balak tumbang menghalang laluan pendakian dan tidak kurang juga pengalaman cerita ‘pewai’ masing-masing.

Jika hendak diceritakan mengenai panorama gunung di Malaysia, tidak usah dipertikaikan lagi kerana puncak gunung di Malaysia mempunyai nilai pemandangan yang cukup luar biasa dan berbaloi dengan cabaran perjalanannya.

Jangan dibandingkan dengan kecantikan atau keindahan gunung di luar negara misalnya laluan gunung berapi yang cukup terkenal di Indonesia atau segmen pergunungan Alp yang berada di sepanjang Banjaran Himalaya dan Karakoram kerana pemandangan gunung Malaysia kaya dengan nilai pemandangan tropika yang cukup inklusif serta berada dalam kelasnya tersendiri.

Keindahan gunung di Malaysia juga sering kali tular di media sosial kerana ada laluan ke puncak gunung contohnya di Gunung Irau seolah-olah pendaki berada di dalam babak filem fiksyen, Lord Of The Ring.

Pada hari ini juga ramai generasi muda mula berjinak-jinak dalam aktiviti pergunungan tempatan untuk mengisi masa lapang mereka. Bahkan, ada juga terus menjadikan aktiviti ini sebagai kerjaya sampingan.

Lebih jelas, lihat saja segala platform media sosial baik Facebook sehingga ke Instagram, aktiviti mendaki ini seolah-olah menjadi fenomena tsunami fotografi dalam kalangan rakyat Malaysia. Sehinggakan banyak syarikat penjual barangan sukan asing menyuntik pelaburan besar mereka ke negara ini.

Pada masa sama, kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga aktif mempromosikan pelancongan eko kepada pelancong yang aktiviti pendakian gunung turut berada di dalam produk pelancongan berkenaan.

Di Malaysia, penulis difahamkan kita mempunyai lebih 250 gunung kerana sehingga kini tidak ada statistik lengkap jumlah senarai gunung. Mungkin ada juga kawasan pergunungan tempatan yang sukar untuk diterokai atau tidak mustahil, masih tidak mempunyai nama.

Paling terkenal adalah 12 puncak gunung tertinggi di Malaysia atau dikenali sebagai G12 yang membahagikan kepada tujuh gunung tertinggi di Semenanjung, manakala lebihan lima puncak lain berada di Sabah dan Sarawak yang turut dikenali sebagai ‘Big Five Borneo’.

Tujuh puncak tertinggi di Malaysia turut digelar sebagai G7 merangkumi Gunung Tahan (Pahang), Gunung Korbu (Perak), Gunung Gayong (Perak), Gunung Chamah (Kelantan) dan Gunung Yong Yap, Gunung Yong Belar dan Gunung Ulu Sepat di sempadan Perak-Kelantan.

Big Five Borneo pula terletak tiga di Sabah iaitu Gunung Kinabalu, Gunung Trusmadi dan Gunung Tambuyukon manakala dua lagi di Sarawak iaitu Gunung Murud serta Gunung Mulu.

Kegiatan mendaki 12 gunung paling popular ini tidak perlu dipertikaikan lagi kerana majoriti pendaki gunung tegar sentiasa mengidam untuk menawan semuanya kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan memandangkan cabaran membabitkan masa yang kadangkala mengambil masa sehingga seminggu untuk didaki seperti Gunung Tahan, sekiranya pendaki melalui laluan Kuala Tahan-Merapoh.

Tambahan kos perbelanjaan juga sering diambil kira terutama bagi pendaki gunung dari Semenanjung yang ingin menakluk Big Five Borneo kerana mereka perlu membeli tiket kapal terbang dan pakej pendakian daripada agensi tertentu.

Sebenarnya di Malaysia terlalu banyak kawasan pergunungan yang boleh dijadikan destinasi pelancongan menarik untuk disertai orang ramai, sama ada pelancong tempatan mahupun asing.

Ada orang mengatakan aktiviti mendaki gunung ini hanya untuk mereka mempunyai stamina yang baik. Bagi penulis, sebenarnya semua orang mampu mendaki gunung dengan melaksanakannya secara perlahan-lahan.

Apa kata, mulakan dengan mendaki bukit terdekat dengan kawasan anda. Misalnya, di sekitar Kuala Lumpur terdapat beberapa bukit yang terkenal untuk aktiviti pendakian secara santai seperti Denai Tiga Puteri, Banjaran Bukit Tabur, Bukit Saga dan dahulunya amat terkenal ialah Bukit Broga.

Selain itu, pada peringkat permulaan jangan berada dalam keadaan tertekan ketika mendaki kerana perkara itu mampu memberi tekanan kepada diri kita untuk meneruskan pendakian. Lebih baik lakukan bersama rakan secara santai dan rancang aktiviti sampingan yang lebih menyeronokkan seperti mengambil gambar.

Jika mendaki di kawasan bukit yang santai, anda juga boleh membawa anak bersama untuk menyertai aktiviti ini tetapi pastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat dan mempunyai kelengkapan yang diperlukan semasa kecemasan.

Perihal keselamatan juga perlu diambil kira kerana banyak laporan mengenai kehilangan pendaki di kawasan pergunungan dan bukit. Ketika mendaki kita juga perlu sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan pergi bersama mereka yang mempunyai pengalaman pendakian.

Aktiviti mendaki gunung bukan sahaja memberi kesan kepada tahap kecergasan pendaki, malah turut menjadikan rakyat Malaysia sebagai warga yang cintakan keindahan alam semula jadi dan peka kepada isu kerosakan alam.

Sebagai pendaki, sudah tentu kita mahukan pemandangan yang cantik dan udara yang segar ketika berada di puncak. Maka perlu sentiasa berada dalam keadaan peka untuk menjaga persekitaran.

Jangan pula bermegah dengan hasil tangkapan foto yang cantik dan unik berlatarbelakangkan kehijauan, hakikatnya pendaki sendiri bertenggek di atas pokok yang kita tahu ia adalah salah satu elemen dalam ekosistem hutan terpenting untuk jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 6:26 AM