PKN turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pelbagai programnya.
HM Digital

Aktiviti pendakian yang dilakukan peminat di Malaysia bukan saja bergerak secara individu, malah ia juga diterajui kelab atau persatuan bergiat aktif menjalankan pelbagai ekspedisi di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Kejayaan individu yang merekodkan sejarah dalam pelbagai ekspedisi pendakian antarabangsa seperti Everest, sebenarnya diterajui persatuan atau kelab pendakian yang berpengalaman dan bijak mendapatkan dana sokongan.

Persatuan Kembara Negara (PKN) adalah satu nama amat dikenali dalam kalangan pendaki profesional negara kerana atas tiketnya, beberapa individu berjaya melaksanakan pelbagai misi pendakian antarabangsa serta merakam sejarah untuk Malaysia.

Antara misi pendakian negara yang pernah dianjurkan PKN ialah Ekspedisi Merdeka De’Everest pada 2007 dengan enam ahlinya iaitu Idris Said, Ahmad Reduan Rozali, Ahmad Fakhri Abu Samah, Marina Ahmad, Mohd Rofi Kori dan Muhammad Fauzan Hasan berjaya ke puncak Everest menerusi laluan Nepal sekali gus merekodkan Marina sebagai wanita pertama Malaysia ke puncak tertinggi dunia itu.

Selain itu, PKN juga berjaya melahirkan dua ahlinya iaitu Ahmad Reduan Rozali dan Ahmad Fakhri Abu Samah sebagai penakluk tujuh puncak gunung tertinggi di tujuh benua berbeza dunia atau dikenali sebagai ‘Seven Summit’.

PKN yang dianggotai 50 ahli dan diterajui Tan Sri Mohd Khalid Mohd Yunus sebagai presidennya sejak persatuan itu ditubuhkan pada 2004 juga pernah menganjurkan beberapa ekspedisi nasional yang lain antaranya Misi Perdana De’Everest 2011 ke Everest menerusi laluan Tibet dan Kembara Srikandi Prihatin ke Gunung Elbrus, Rusia 2017.

Persatuan itu yang boleh dianggap sebagai entiti terkenal dalam pergerakan aktiviti pergunungan tempatan turut mempunyai ‘sekolah angkat’ iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Bestari bagi menggalakkan lebih ramai generasi muda terutama pelajar sekolah meminati aktiviti rekreasi dan mendaki gunung.

Memandangkan PKN dilihat sebagai persatuan paling dikenali di Malaysia dalam aktiviti rekreasi, baru-baru ini persatuan berusaha mengangkat nama Malaysia sebagai salah satu negara ahli untuk layak menyertai Persekutuan Pergunungan dan Pendakian Antarabangsa (UIAA).

UIAA ialah satu badan antarabangsa terdiri daripada 91 ahli dari 68 negara di enam benua berbeza yang melaksanakan tinjauan dan penarafan aktiviti pergunungan di seluruh dunia serta membincangkan pelbagai isu antarabangsa untuk diketengahkan kepada pihak berkuasa global.

UIAA beribu pejabat di Bern, Switzerland turut aktif menjalankan mesyuarat agung tahunan di negara ahlinya mengikut undian bagi membincangkan isu pergunungan semasa dan mengadakan majlis penganugerahan dalam bidang pergunungan.

Pada tahun ini, UIAA mengadakan mesyuarat agung di Shiraz, Iran pada 19 hingga 21 Oktober lalu dan Malaysia menerusi PKN menghantar dua ahlinya iaitu Setiausaha Agung PKN Muhamad Rafi Kori dan ahli jawatankuasanya Khairul Razali Rahmat.

Mohd Khalid berkata, PKN adalah badan tunggal Malaysia yang menjadi ahli, bernaung di bawah UIAA dan tahun ini masuk tahun kedua sebagai ahli pemerhati persekutuan antarabangsa itu dan tempoh itu melayakkan PKN menjadi ahli tetap untuk tahun yang ketiga pembabitannya di dalam mesyuarat agung tahunan UIAA.

Katanya, lebih membanggakan, Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara yang aktif menjadi ahli UIAA dan ia mampu memberi manfaat kepada negara kita untuk menjadi hab atau rujukan aktiviti pergunungan di peringkat rantau berkenaan.

“Melalui peluang dan kerjasama yang wujud ini, PKN meletakkan objektif untuk menjadikan sukan pergunungan dan pendakian di Malaysia ke tahap yang terbaik dan bermanfaat kepada penggiat sukan pergunungan dan pendakian tempatan.

“Malaysia mempunyai khazanah gunung yang sangat hebat dan mempunyai manfaatnya tersendiri. Ia produk pelancongan lasak yang perlu di disusun, dicorakkan dan dijaga dengan cara terbaik untuk memberi manfaat kepada pelbagai pihak apatah lagi ia mampu menjana ekonomi kepada semua peringkat di dalam rantaiannya,” katanya.

Beliau berkata, langkah PKN untuk membawa nama aktiviti pergunungan Malaysia ke peringkat antarabangsa perlu mendapat sokongan terutama kerajaan melalui peranan daripada Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan dan Jabatan Perhutanan.

“Selain itu, untuk membangunkan rantaian aktiviti pergunungan tempatan, pihak lain seperti badan atau kelab yang berkaitan serta penggiat sukan luar di Malaysia perlu bekerjasama dalam pelbagai perkara untuk mempromosikan keunikan gunung hutan tropika di peringkat global.

“Dengan adanya penyertaan kita di dalam UIAA, pendaki tempatan mampu mendapat maklumat mengenai aktiviti pendakian pergunungan di luar negara. Pada masa sama, kita juga menjadi lebih peka untuk menjaga persekitaran gunung di Malaysia kerana ia pantau oleh pihak tertentu,” katanya. -Hafiz Ithnin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 6:14 AM