SEBAHAGIAN pelajar yang mengikuti pemuliharaan dan pengurusan hutan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Bagi memupuk semangat cintakan hutan kepada pelajar sekolah, Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) mengetengahkan usaha itu melalui Pameran Sains dan Kejuruteraan Kuala Lumpur (KLESF) 2017.

Usaha itu sekali gus memberi kesedaran mengenai kepentingan kemampanan hutan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTCC Yong Teng Koon berkata, aktiviti interaktif mengenai amalan pengurusan hutan mampan (SFM) dijalankan bagi menarik pelajar supaya matlamat berkenaan dicapai.

“Memelihara hutan amat penting dalam memastikan bekalan sumber boleh diperbaharui secara semula jadi, memberikan perlindungan terhadap ekosistem dan biologi, kehidupan manusia yang mampan dan mengurangkan ancaman perubahan iklim yang semakin meningkat.

“Generasi muda perlu sedar kepentingan memelihara hutan kita kerana mereka ejen perubahan dan pemimpin masa depan negara,” katanya.

Jelas Yong, sifat ingin tahu anak muda menjadikan mudah untuk menanamkan nilai hijau dan menghargai pelaksanaan SFM di Malaysia.

“Melalui penyertaan MTCC di KLESF, kami dapat berhubung dengan lebih dekat dengan pelajar.

“Kami sangat berharap mereka mendapat manfaat melalui aktiviti MTCC serta pemahaman dan penghargaan yang lebih baik terhadap peranan penting hutan kita,” katanya.

Di pameran itu, paparan poster berwarna warni dan model mini yang menggambarkan proses Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) menarik 400 pelajar untuk mengetahui mengenai MTCS dan peranannya dalam mempromosikan perhutanan yang mampan.

Selain itu, kuiz Cari Perkataan berkenaan SFM juga menghasilkan minat yang baik dan menerima penyertaan aktif.

Yong berkata, MTCC percaya bahawa pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai amalan pengurusan hutan serta mengambil kira aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar dapat memberi kesan positif kepada pelajar mengenai keperluan melindungi hutan untuk masa hadapan.

Katanya, MTCS memastikan hutan kita diurus secara mampan melalui penilaian bebas terhadap amalan pengurusan hutan dan audit berkala mengenai hutan dan ladang hutan yang diiktiraf MTCS.

“Kami juga mahu mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai pentingnya penggunaan bahan yang mampan seperti produk kayu yang disijilkan.

“Mendidik generasi muda dalam membuat pilihan adalah langkah yang betul untuk memastikan masa depan yang lebih hijau untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

KLESF 2017 yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines baru-baru ini menarik pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara untuk berkongsi mengenai penggunaan sains dan kejuruteraan dalam persekitaran.

Pameran itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kesejahteraan sosio-ekonomi dan pembangunan mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 5:39 AM