SEORANG ahli pasukan yang menguruskan bilik Projek57.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Menerusi kerjasama Projek57, Kolej Universiti Linton sekali lagi mempamerkan komitmennya untuk menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar dengan menganugerahkan 10 biasiswa kepada belia Orang Asli yang kurang bernasib baik.

Biasiswa yang disampaikan pada majlis pelancaran Projek ‘Reaching Out through Succesful Education’ (ROSE) itu adalah dari Kolej Universiti Linton sempena Majlis Konvokesyen Ke-13 universiti itu di Hotel Marriot Putrajaya, Putrajaya, baru-baru ini.

Susulan sumbangan untuk Projek57 tahun lalu, ditambah 10 biasiswa berkenaan dan sumbangan sebanyak RM42,925 bagi 850 kemeja-T eksklusif, sebahagiannya dimanfaatkan untuk membantu golongan belia yang kurang bernasib baik.

Bagi pelancaran Projek ROSE, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani Naib Canselor Universiti Linton, Dr Kamis Awang dan pengasas Projek57, Syed Sadiq Albar serta Collin Swee.


DARI kiri, Jeffrey, Dr Kamis, Syed Sadiq Albar dan Collin Swee mempamerkan MoU yang ditandatangani.

Dalam majlis itu, Dr Kamis juga menyerahkan 10 cek biasiswa kepada Projek57.

Dr Kamis Awang berkata, projek ROSE antara inisiatif sosial Kolej Universiti Linton.

“Melalui projek tanggungjawab sosial korporat ini, kami mahu mengenal pasti pelajar kurang berkemampuan yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi.

“Kami percaya apabila semua diberi pendidikan yang sempurna, seluruh negara akan maju. Kerjasama dengan Projek57 membolehkan kami mendekatkan diri dengan masyarakat Orang Asli demi kepentingan pendidikan tinggi dan impak pendidikan dalam mengubah hidup masyarakat ini.

“Kami ingin melaksanakan tanggungjawab dalam membangunkan komuniti Orang Asli khususnya di Negeri Sembilan memandangkan kampus Linton seluas 64.7 hektar terletak di Mantin,” katanya.

Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif Kolej Universiti Linton, Jeffrey Wong.


GERAI Projek57 menarik ramai pengunjung dengan suasana yang menarik.

Penerima juga bebas mendalami kursus yang diminati dan selepas tamat pengajian, mereka boleh bekerja dengan mana-mana majikan kerana biasiswa itu tiada ikatan bon.

Pada tahun ini, penerima berpeluang mengikuti kursus seperti Perniagaan dan Perakaunan, Teknologi Maklumat (IT), Kejuruteraan, Seni Gunaan dan Visual dan Kejururawatan di Kolej Universiti Linton.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 1:52 PM