KEWUJUDAN lukisan mural memberi nilai eksklusif terhadap masjid berkenaan.
RUANG utama solat.
KIRA-kira 70 panel lukisan mural ‘bas-relief’ ditemui ketika projek pemuliharaan pada Mac 2015 hingga Oktober tahun lalu.
LUKISAN mural ‘bas-relief’ sebelum ini ditutup dengan salutan cat putih, simen dan sebahagiannya dengan lepaan kapur dan simen baru.
LUKISAN ‘bas-relief’ itu bertemakan pemandangan, tumbuhan, bukit bukau, sungai dan laut di daerah Klang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Bagi yang tidak mengetahui sejarah penubuhan Masjid Diraja Sultan Suleiman di Jalan Kota Raja, Klang pasti menyangka ia masjid baru dibina berdasarkan bentuk fizikal bangunannya.

Hakikatnya ia masjid yang sudah berusia 85 tahun dan sebelum ini mengalami banyak kerosakan.

Namun, hasil projek pemulihan atau konservasi yang dilakukan pada Mac 2015 hingga Oktober 2017 lalu memberi wajah baru terhadap masjid terbabit.

Projek bernilai RM12 juta itu bukan sekadar melakukan kerja pemulihan tapi berjaya membuka ‘rahsia’ Masjid Diraja Sultan Suleiman yang selama ini tersimpan dan tidak diketahui umum.

Paling menarik ialah penemuan kira-kira 70 panel lukisan mural ‘bas-relief’ pada dinding yang sebelum ini ditutup dengan salutan cat putih, simen dan sebahagiannya lepaan kapur serta simen baru ketika kerja pengubahsuaian pada 1970-an.

Lukisan mural di masjid itu terdapat pada bahagian anjung kereta, minaret, ruang limpah tambahan, ruang solat utama, kerangka utama tingkat satu, kerangka dan tiang dalam, palung bercahaya serta kerangka bulat kubah.

‘Bas-relief’ adalah corak timbul yang dibentuk atau diukir supaya timbul sedikit daripada permukaan bahan sama ada batu, logam, tanah liat, kayu dan sebagainya. Corak ini disediakan sama ada melalui kaedah ukiran dan pahatan, tempaan, penekanan dan sebagainya. Corak sebegini memberikan kesan tiga dimensi yang lebih menarik.

Penyelidik Sejarah Selangor Faisal Surani berkata, lukisan mural itu ditemui semula ketika kerja konservasi dijalankan pada 2016.

“Ketika kerja tinjauan dilakukan kami mendapati terdapat kerosakan mekanikal atau kesan ketukan dan berlubang-lubang.

“Sebahagian daripada ‘bas-relief’ juga patah dan hilang dikenal pasti Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) yang bertanggungjawab menjalankan kerja konservasi ini,” katanya.

LPSVN mengambil beberapa langkah sebagai usaha menyelamatkan dan mengembalikan lukisan mural berkenaan kepada keadaan asalnya sebelum ditutup.

“Antara langkah yang dilakukan ialah dokumentasi dan pemeriksaan teknikal, konservasi kuratif dan preventif.

“Proses ini sangat rumit dan dilakukan dengan penuh teliti terutama dalam rawatan pengukuhan dan integrasi semula imej selain mengenal pasti warna cat asal lukisan mural berkenaan,” katanya.

Beliau berkata lukisan ‘bas-relief’ itu bertemakan pemandangan, tumbuhan, bukit bukau, sungai dan laut di daerah Klang.

Malah lukisan berkenaan sama usia dengan bangunan masjid terbabit dan sebenarnya antara bahagian penting dalam seni reka Masjid Diraja Sultan Suleiman itu.

“Lukisan mural ini menggunakan warna terang seperti kuning dan merah yang melambangkan warna Selangor, sementara biru merujuk kepada langit, sungai serta laut. Hijau pula pemandangan landskap tempatan.

Katanya lagi, lukisan mural ‘bas-relief’ masjid ini dianggap unik dan penting kerana ia adalah satu-satunya yang terdapat di negara ini.

“Penemuan lukisan ini adalah di luar jangkaan dan tidak sangka tersimpan dalam masjid ini. Perkara ini menimbulkan persoalan mengapa ia ditutup?” katanya.

Faisal berkata, berdasarkan penceritaan keluarga Orang Besar Daerah Klang dan Pawang Diraja, Sultan Selangor ke-5, Almarhum Sultan Ala’eddin Suleiman Shah terkenal sebagai seorang yang alim, tidak berkenan dengan bentuk dan warna lukisan mural itu kerana agak menonjol selain kurang sesuai bagi sebuah masjid.

Jelasnya, Almarhum bertitah kepada Datuk Kaya Abdul Hamid Kaya Baduk, Orang Kaya Maha Bijaya Klang dan Pawang Diraja Haji Syawal Haji Jamal ketika itu supaya menutup lukisan berkenaan.

“Selepas sekian lama ditutup, akhirnya lukisan terbabit dikekalkan mengikut bentuk dan warna asal selepas proses pemuliharaan.

“Ini kerana masjid itu sudah diisytiharkan sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada 10 Mei 2012 dan selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu reka bentuk asal masjid dikekalkan,” katanya.

Ciri reka bentuk masjid berkenaan adalah gabungan konsep ‘Western Art Deco’ dan ‘Neo-Classical’ yang direka Penolong Arkitek Kanan Selangor Leofric Kesteven dengan pengaruh seni bina dunia Islam sebagaimana dikehendaki Sultan Ala’eddin Suleiman Shah.

Peletakan kaki tiang masjid itu yang nama asalnya adalah Masjid Jamiur-Rahmah, disempurnakan Sultan Ala’eddin Suleiman Shah pada 11 September 1932.

“Bagaimanapun, selepas siap pembinaannya masjid ini diserahkan kepada baginda pada Jun 1933.

“Pembinaan masjid negeri ini adalah hadiah kerajaan British kepada baginda bersempena pengisytiharan Klang sebagai Bandar Diraja dan sebagai ganti Masjid Pengkalan Batu Klang berusia ratusan tahun yang sudah uzur serta dirobohkan ketika pembinaan Stesen Kereta Api Klang,” katanya.

Masjid berkenaan sudah melalui beberapa kali proses naik taraf dan pengubahsuaian pada 1933, 1949, 1953-54, 1958, 1966, 1968, 1970-an, 1980-an, 1990-an dan 2000-an.

Reka bentuk fizikal masjid itu sebenarnya seiring dengan reka bentuk Istana Mahkota Puri yang tersergam atas bukit di sebelah masjid ketika itu.

“Terdapat sebuah kubah utama yang diapit dengan empat kubah besar. Kubah utama itu melambangkan Sultan Selangor sementara empat kubah besar itu pula merujuk kepada Dato’ Besar Empat Suku Selangor.

“Lima kubah di bahagian hadapan pintu masuk utama pula merujuk kepada Rukun Islam dan Daeng Lima bersaudara sementara dua kubah kuning berbentuk payung melambangkan Payung Diraja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 2:08 PM