HASIL kerja Ahmad Syukri menjadi lukisan paling mahal dipamerkan dalam Pameran Landmark.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Warisan lama mesti dipertahankan dan dijaga dengan baik kerana ia mempunyai nilai estetika yang boleh dijadikan rujukan generasi akan datang.

Itu mesej tersirat yang disampaikan menerusi hasil karya artis Ahmad Syukri Mohamed dalam Pameran Landmark di Artcube Sendirian Berhad di Intermark Mall, Kuala Lumpur.

Pameran berkumpulan itu menghimpunkan 21 karya daripada 13 artis kontemporari terkenal negara dari pelbagai genre termasuk figura.

Jenis medium digunakan antaranya campuran media dan akrilik.

Pemilik galeri Azhar Ahmad berkata, lukisan Ahmad Syukri paling mahal dijual di pameran berkenaan berharga RM350,000.

Katanya, lukisan itu menggunakan papan kayu lantai dari sebuah rumah seorang bangsawan di Klang, Selangor yang dirobohkan beberapa tahun lalu sebelum dibeli artis terbabit untuk dijadikan lukisan seni.

“Hasil kerja Ahmad Syukri sangat halus dan digabung kreativitinya menjadikan karya ini begitu menarik serta mengagumkan sesiapa saja yang melihatnya.

“Karya artis kontemporari sepenuhnya terhasil menerusi idea mereka berbanding artis moden yang lebih cenderung kepada genre abstrak dan warna.

“Lukisan ini mempunyai tujuh panel dan di setiap bahagian belakang kepingan papan kayu ditulis nombor bagi mengelakkan kesilapan ketika pemasangannya,” katanya kepada Nuansa.

Bagi yang berminat untuk menghayati hasil seni atau ingin membeli lukisan daripada artis ternama itu boleh berkunjung ke galeri berkenaan yang dijual dari RM10,000 hingga RM350,000.

Pameran yang bermula sejak 1 Julai itu berlangsung sehingga 31 Julai ini dan galeri dibuka dari Isnin hingga Jumaat pada 11 pagi hingga 6 petang, sementara Sabtu serta Ahad pula dibuka dari 12 tengah hari hingga 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 1:20 PM