SHAIKH Muhd Afiq bersama bapanya, Shaikh Mokhtar dan adiknya, Shaikh Khalil menunjukkan sebahagian koleksi figura robot Transformers.
Muhammad Shalaby Shahbuddin
am@hmetro.com.my


Tayangan filem Transformers The Last Knight yang menerjah panggung di seluruh dunia sejak bulan lalu bukan saja mendapat sambutan dan diminati fanatisme siri filem itu, malah patung mainan atau koleksi figura robot Transformers turut menjadi rebutan dan kegilaan orang ramai tidak mengira faktor usia.

Oleh itu, kehangatan filem dan obses terhadap siri Transformers itu turut mencetuskan hasrat seorang anak muda kelahiran Pulau Pinang menganjurkan Pameran Koleksi Transformers buat julung kalinya di daerah Seberang Prai bertempat di Mydin Mall, Bukit Mertajam, baru-baru ini.

Selaku penganjur dan pengumpul koleksi, Muhammad Anis Fakhri Mohd Nesfu, 33, berkata pameran dua hari itu menampilkan secara eksklusif lebih 400 figura robot Transformers dari generasi satu hingga Transformers 5 (The Last Knight).

Beliau berkata, tujuh pengumpul koleksi iaitu Transformers Collectors Penang membawa sebahagian koleksi terbaik mereka untuk dipertontonkan, sekali gus membolehkan peminatnya bukan saja dapat ‘mencuci mata’, malah memegang dan merasai sendiri keunikan seni figura robot itu selain berpeluang bergambar bersama kostum Bumblebee secara langsung serta beberapa koleksi model aksi Transfomers milik peribadi yang ‘rare’.

“Semua koleksi dipamerkan adalah eksklusif apabila ia sangat jarang djumpai dan tidak pernah dilihat orang ramai sebelum ini selain saya dapat berkongsi keterujaan.

“Pameran bermula jam 11 pagi hingga 6.30 petang itu mendapat sambutan menggalakkan apabila dikunjungi hampir 5,000 orang sepanjang dua hari di pasar raya besar berkenaan,” katanya yang bekerja sebagai pengurus kejuruteraan fasiliti di sebuah syarikat pembuatan elektronik di Prai.

Muhammad Anis Fakhri berkata, pelbagai pengisian dan aktiviti diadakan termasuk gerai jualan Hotwheels, Star Wars, Gundam Model Kit, permainan video Transformers Playstation 4 (PS4), dan tontonan tayangan filem Transformers di skrin gergasi.

Beliau berkata, dengan misi dan visi iaitu Bring Hobby To The Next Level,’ ia dapat mendekatkan hobi pengumpulan model aksi Transformers itu kepada masyarakat umum selain memupuk minat, nilai positif dan menjadi inspirasi kepada orang ramai terutama kanak-kanak, pelajar dan belia supaya lebih gigih serta berjaya di dalam pelajaran.

“Apabila mereka sudah berjaya di dalam pelajaran sudah tentu berpeluang memiliki kerjaya baik atau bergelar seorang usahawan sekali gus mempunyai pendapatan bulanan yang baik dan stabil.

“Hasil pendapatan yang baik itu, sudah tentu wang lebihan dapat diperuntuk atau digunakan untuk memenuhi hobi mereka seperti menjadi pengumpul koleksi seperti kami, dan menjadi inspirasi semula kepada masyarakat,” katanya yang memiliki lebih 1,500 unit dari generasi pertama hingga Transformers 5 (The Last Knight).

Muhammad Anis Fakhri berkata, disiplin dan kesabaran tinggi berjaya disemai apabila setiap model terbabit yang bernilai dari puluhan hingga ribuan ringgit setiap satu itu sudah tentu memerlukan penabungan dan pengurusan kewangan rapi untuk memilikinya.

Menurutnya, minat dalam bidang teknologi dan kejuruteraan dapat dipupuk kerana ia membabitkan membina, mencantum dan ‘transform’ model aksi Transformers terbabit yang mempunyai ciri-ciri kejuruteraan tersendiri apabila pengubahan dari satu bahagian ke bahagian model aksi itu boleh dilakukan dengan lancar, teratur dan tepat dari bentuk robot ke bentuk kenderaan.

Sementara itu, pengumpul koleksi, Shaikh Muhd Afiq Shaikh Mokhtar, 18, berkata dia bersama bapa, Shaikh Mokhtar Shaikh Ali, 54, dan adiknya, Shaikh Khalil, 17, mempunyai minat sama mengumpul model aksi Transformers itu.

Pada mulanya, beliau mengikuti hobi bapanya mengumpul lebih 100 koleksi siri komik Marvel, namun semuanya rosak dan dihanyutkan air berikutan rumah mereka dilanda banjir di Kampung Makam, Georgetown, 10 tahun lalu.

“Sejurus itu, saya mula melahirkan minat terhadap Transformers ini apabila menonton filem pertamanya pada 2007 dan hingga kini saya sudah berjaya mengumpul lebih daripada 350 koleksi peribadi sejak 1984 membabitkan kos hampir RM8,000.

“Bagi membeli koleksi Transformers diminati, saya menjana pendapatan sendiri menerusi jualan Hotwheels dan kemahiran mereka cipta ‘diorama’ iaitu latar belakang yang timbul untuk pameran sesuatu model, biasanya digunakan untuk promosi filem mengikut kehendak pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 1:12 PM