ORANG ramai berpusu-pusu ke Jeti Nelayan Pulau Duyong untuk merasai suasana pasar tradisional sempena DAF.
PENGUNJUNG membeli di pasar DAF di jeti.
PENASIHAT DAF Christine Rohani Longuet (dua dari kiri) menerima poskad sebagai gimik perasmian Pameran Poskad ke Duyong.
SEBAHAGIAN poskad yang diterima dari pelbagai negara untuk DAF.
PERSEMBAHAN seni Silat Gayong di DAF.
Ahmad Rabiul Zulkifli
rencana@hmetro.com.my

Pameran Poskad Ke Duyong, persembahan teater, wayang kulit Terengganu dan diskusi seni antara lebih 30 acara dianjurkan pada Karnival Seni Duyong (DAF) 2017 selama sebulan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Acara itu lebih berfokuskan kepada kesenian tradisional Terengganu seraya menggamit kenangan silam selain mengembalikan kegemilangan budaya, seni permainan dan persembahan tradisional Melayu Terengganu yang kian dilupakan generasi baru.

Keunikan ditonjolkan melalui pelbagai aktiviti di DAF itu menarik lebih 25,000 pelancong dalam dan luar negara termasuk penggemar aktiviti kesenian dari Perancis, Jerman, Jepun, China dan Australia.

Penyelaras Acara, Mohd Rafi Kori berkata, karnival kali ketiga dianjurkan itu mendapat sambutan luar biasa berbanding sebelum ini dan ia membuktikan penganjurannya menepati kehendak serta berjaya menarik kedatangan pelancong mengenali budaya orang Melayu terutama kesenian tradisional Terengganu.

“Semua acara yang dijalankan sepanjang sebulan itu mendapat sambutan di luar jangkaan, persembahan teater, dikir barat dan wayang kulit antara yang menjadi tumpuan selain Pameran Poskad Ke Duyong yang dijalankan pada 1 April hingga 23 April turut mendapat maklum balas positif pengunjung.

“Sebanyak 700 poskad dari dalam dan luar negara diterima dan dipamerkan kepada pengunjung dan ia antara satu kelainan yang ditonjolkan dalam DAF tahun ini kerana secara tidak langsung mempromosikan Pulau Duyong ke seluruh dunia,” katanya.

Menurutnya, selain dimeriahkan pelbagai aktiviti kesenian DAF juga diceriakan dengan pelbagai keindahan pencahayaan dan susun atur yang menarik dan unik seterusnya memberi pengalaman baru kepada pengunjung.

“Semua aspek yang disediakan sepanjang DAF itu menonjolkan keunikan dan kesenian termasuk gerai jualan yang disediakan di tapak karnival.

“Kami juga membawa pengunjung merasai suasana urusan perniagaan zaman dahulu apabila peniaga berniaga pelbagai jenis produk Terengganu termasuk nasi dagang, barangan kraf tangan dan kuih-muih di sepanjang jeti sambil mengenakan pakaian Melayu lama.

“Rata-rata pengunjung teruja dengan suasana itu dan ada pengunjung yang menghabiskan masa berjam-jam di atas jeti itu semata-mata ingin merasai suasana dan ia pengalaman sukar diperoleh di mana-mana festival di negara ini,” katanya.

Menurutnya, DAF itu bukan sekadar persembahan kesenian semata-mata namun ia juga sebagai landasan utama mengumpulkan penggemar seni di seluruh Terengganu dan negara ini bagi menonjolkan keunikan produk masing-masing.

“Kami berjaya menghimpunkan pelbagai gambar dan teknik lukisan yang unik serta dipamerkan di Rumah Kota Lama Duyong. Bagi penggemar muzik mereka boleh menonjolkan keunikan lagu rakyat melalui nyanyian secara langsung di bawah pokok selain sekumpulan anak muda yang meminati lagu berentak moden pula mempersembahkan lagu yang diminati mereka di sudut yang lain.

“Segala bentuk kesenian dikumpul dan dipersembahkan kepada orang ramai bersesuaian dengan status Pulau Duyong yang memang kaya dengan pelbagai kesenian tradisi dan unik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 2:58 PM