PENONTON tertarik dengan hasil seni Ali Nurazmal yang begitu menarik.
PENONTON hadir ke Galeri Tun Razak BSVN untuk melihat karya di Pameran Seni Negaraku.
ALI Nurazmal bersama karyanya bertajuk Imitation Master After Caravaggio - Time and Space.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@metro.com.my

Memasukkan elemen tempatan dalam hasil kerja seni realisme yang diadaptasi menerusi karya artis Itali terkenal Caravaggio menjadikan hasil seni Ali Nurazmal Yusoff begitu menarik.

Lebih mengagumkan, kerja tangan menggunakan cat minyak atas kanvas membuatkan karya itu ‘hidup’ menyamai karya asal Caravaggio bertajuk The Super of Emmaus yang dihasilkan pada 1601.

Lukisan figuratif Ali Nurazmal bertajuk Imitation Master After Caravaggio - Time and Space dipamerkan di Galeri Tun Razak, Balai Seni Visual Negara (BSVN) sempena Pameran Seni Negaraku.

Terdapat 88 karya lain hasil lukisan 72 pelukis dihimpunkan dalam pameran berkumpulan yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ali Nurazmal berkata, dia menjadikan lukisan Caravaggio sebagai rujukan dan subjek kepada hasil seni kerana mahu memberikan nafas baru terhadap karya seni tempatan.

“Saya cuma menambah watak pelakon tambahan iaitu seorang wanita berbanding karya asal hanya ada empat watak.

“Elemen tempatan yang saya masukkan dalam karya ini ialah durian musang king dan petai bagi menggantikan buah-buahan Itali seperti terdapat dalam lukisan,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, lukisan itu juga membangkitkan persoalan apa yang akan dilukis Caravaggio dalam karya itu jika dia rakyat Malaysia.

“Sudah tentunya dia (Caravaggio) meletakkan elemen tempatan seperti buah-buahan dalam hasil seni seperti yang terdapat dalam karya ini.

“Mesej tersirat yang boleh disampaikan ialah rakyat perlu menyokong produk tempatan berbanding luar kerana kerana orang luar tidak mempedulikan barangan negara ini,”katanya.

Menurutnya, dia mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan karya yang dihasilkan menggunakan tangan sepenuhnya pada 2013 dan hasil seni itu sudah dibeli pengumpul lukisan antarabangsa iaitu Kuldip dan Aage Aasmundsen.

INFO

PAMERAN SENI NEGARAKU

• ARTIS : Ali Nurazmal Yusoff

• TAJUK KARYA : Imitation Master After Caravaggio - Time and Space

• JUMLAH KARYA : 88

• JUMLAH ARTIS : 72

• LOKASI: Galeri Tun Razak, Balai Seni Visual Negara. No 2, Jalan Temerloh Off , Jalan Tun Razak, 53200 Kuala Lumpur

• TELEFON : 03-4026 7000

• TARIKH : Sehingga September 2017

• MASA : 9 pagi hingga 5 petang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 2:50 PM