DULU. Masjid Bandar Jerantut
KINI. Masjid Bandar Jerantut kini berwajah baharu selepas dicat semula dan penggubahsuaian di bahagian hadapan.
DULU. Balai Polis Jerantut pada 1984.
KINI. Balai Polis Jerantut dibina semula dengan bangunan konkrit berbanding binaan asal berdinding papan.
DULU. Keadaan pekan Jerantut pada 1984.
KINI. Pekan Jerantut kini dikenali sebagai bandar Jerantut dan mengalami pembangunan pesat.
DULU. Bangsal dijadikan bilik darjah Sekolah Kebangsaan Kerambit.
KINI. Bangunan konkrit dibina menggantikan bangsal.
DULU. Pejabat Pos Damak.
KINI. Landskap menghiasi Pejabat Pos Damak.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Jerantut adalah daerah terbesar daripada 13 daerah lain di Pahang yang kewujudannya mempunyai sejarah tersendiri.

Dengan luas keseluruhan 7,563.46 kilometer persegi, Jerantut mempunyai 10 mukim yang terdiri daripada 295 kampung di bawah pentadbiran 58 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Jerantut dipercayai berasal daripada perkataan Jeram dan Tut sempena nama Awang Tut yang dikatakan sering mengail di kawasan jeram di tengah sungai Pahang.

Bagaimanapun, terdapat catatan lain menyatakan, pekan itu dipanggil sebagai Simpang Empat iaitu satu tempat jalan kereta api dari Gemas ke Kota Bharu bersilang dengan jalan raya dari Kuala Lipis ke Kuantan sebelum kemunculan perkataan Jerantut.

Nama Simpang Empat akhirnya ditukar kepada Jerantut bermula 1914 dan nama itu digunakan sehingga hari ini.

Terdapat beberapa tokoh pejuang Melayu yang menjadi kebanggaan penduduk di Jerantut antaranya Mat Kilau dan Pawang Nong. Mereka juga menjadi sebahagian daripada sejarah di daerah berkenaan dan Tanah Melayu.

Allahyarham Mat Kilau atau nama sebenarnya Mat Kilau Imam Rasul atau Tok Gajah adalah pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang.

Pada 1930, Mat Kilau menukar nama kepada Mat Siam bagi mengelakkan dikesan Inggeris yang menganggapnya ‘penderhaka’.

Manakala Pawang Nong yang juga Pawang Diraja Negeri Pahang adalah pengikut setia dan pernah menuntut ilmu dengan Mat Kilau.

Pada awal 1930-an, daerah itu hanyalah sebuah pekan kecil yang mempunyai beberapa deretan kedai bangunan batu.

Namun kini, Jerantut sudah berubah wajah dan mengalami transformasi melalui kepesatan pembangunan dengan terbinanya banyak bangunan kedai dan perumahan selain diiktiraf sebagai bandar.

Satu lagi yang tidak diketahui umum mengenai bandar Jerantut, ia adalah gerbang ke Taman Negara dan ramai pelancong dalam serta luar negara suka berkunjung ke Taman Negara King George V.

Selain itu, bandar Jerantut menjadi bandar transit utama Pahang barat menghubungkan Lipis, Temerloh, Raub, Bentong juga ke Maran dan Wilayah Jengka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 2:46 PM