WAN Mah Kelthom (tengah) menerima sumbangan daripada Raja Rusmin.

Di sebalik kesuraman lampu jalan di hujung Kampung Che Deris, Badang, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, kelihatan sebuah rumah bantuan kerajaan yang terang-benderang dengan dua beranak setia menunggu di hadapan pintu rumah mereka.

Si ibu, Wan Mah Kelthom Jaafar, 51, masih dalam pakaian kerjanya kerana baru selesai menjalankan tugas sebagai pencuci di pasar raya di bandar ini manakala anaknya, Wan Nor Hasmimi Syuhada Hashim, 11, hanya berdiri di sisi.

Ketika itu, jam menunjukkan angka 11 malam Ramadan ke-16 dan menjadi malam istimewa buat Wan Mah Kelthom sekeluarga kerana dikunjungi rombongan program Kita Kongsi daripada Hotel Grand Riverview (GRV) dan rakan kerjasamanya yang membawa bersama makanan untuk bersahur.

Ada hidangan gulai ayam, gulai udang, ayam goreng, sayuran dan lain-lain disediakan untuk juadah bersahur buat golongan asnaf seperti Wan Mah Kelthom sekeluarga yang sentiasa berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Selainnya, tiga lagi rumah asnaf sekitar Badang, Pengkalan Chepa turut dikunjungi untuk penyerahan makanan sahur.

Wan Mah Kelthom adalah ibu tunggal yang membesarkan tujuh anak dengan pendapatan kurang RM1,000 berkata, dia tidak pernah menyediakan menu yang enak buat keluarganya sebelum ini, melainkan hanya hidangan telur dan ikan kembung.

“Jika rombongan Kita Kongsi tidak datang, saya sebenarnya nak keluar untuk cari telur buat makan sahur nanti disebabkan rumah tiada lauk apa-apa. Tapi sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Dia hadirkan anda untuk beri makanan yang lazat begini.

“Alhamdulillah saya sangat-sangat bersyukur, rezeki kami lebih hari ini (malam kelmarin). Juadah ini rasanya boleh makan sehingga berbuka esok (semalam). Akhirnya dapat juga anak merasa nak makan udang, ayam dan lauk lain yang sedap begini.

“Terus terang saya cakap, saya tidak mampu beli udang walau yang kecil pun untuk lauk anak-anak, apatah lagi lauk lain yang mahal-mahal, namun hari ini (kelmarin) kami beruntung. Ya Allah, terima kasih. Terima kasih juga anda semua yang datang hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, malam kelmarin.

Dalam sendu, wanita itu memberitahu dia terpaksa berdikari dan melakukan pekerjaan sebagai tukang cuci demi memastikan empat daripada tujuh anaknya berusia 11 tahun hingga 17 tahun dapat bersekolah serta mereka mampu meneruskan kehidupan.

“Kami sentiasa berjimat cermat kerana pendapatan saya tidak banyak mana. Tapi Allah mengatur segala-galanya terbaik dan rezeki kami tidak putus apabila ada sahaja hamba Allah dan dermawan yang mahu membantu.

“Asalkan perut dapat diisi dan ada rumah berteduh serta badan ditutupi pakaian, saya tetap bersyukur,” katanya yang sudah dua tahun menghuni rumah bantuan kerajaan.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Hotel GRV Raja Rusmin Raja Mahmud berkata, program Kita Kongsi adalah inisiatif pihaknya berkongsi makanan berlebihan dengan golongan asnaf yang memerlukan, sepanjang Ramadan ini.

Katanya, inisiatif itu selari dengan konsep Ramadan yang diketengahkan pihaknya iaitu mengelakkan pembaziran dan mengurangkan lebihan makanan.

“Dalam masa sama, kita sebenarnya mahu mendidik masyarakat supaya sedar bahawa makanan yang dimakan tidak wajar untuk dibazirkan, tetapi lebih mulia sekiranya dapat dikongsi dengan orang lain.

“Kena tahu bahawa ada sesetengah golongan kurang bernasib baik terpaksa berjuang untuk sesuap nasi, tapi kita pula senang-senang buang makanan (membazir),” katanya yang mengalu-alukan pihak lain sekiranya mahu turut serta menyumbang untuk program itu yang akan berakhir pada hujung Ramadan. -Maiamalina Mohamed Amin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 3:38 AM