SISWA turut berkongsi pengetahuan dan merapatkan hubungan silaturrahim bersama pelajar Darul Tahfiz Ummul Qura.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak Darul Tahfiz Ummul Qura yang diadakan di pusat tahfiz itu di Jalan Kebun, Klang, baru-baru ini.

Program membabitkan 110 warga tahfiz itu turut menyampaikan sumbangan berupa jubah dan duit raya sebagai persediaan sambutan Aidilfitri.

Majlis berkenaan turut disertai 30 siswa dari lima universiti tempatan iaitu Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Malaysia Pahang dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan.

Presiden ASPIRASI Shahar Abdullah berkata, penganjuran program itu sudah masuk tahun keenam tahun ini.

“Tahun ini masuk enam kali kami jalankan program iftar dan menyampaikan sumbangan kepada anak Darul Tahfiz Ummul Qura dan berharap tradisi ini dapat berterusan.

“Sudah menjadi kebiasaan kami menjemput siswa dari universiti tempatan untuk turut serta dalam program kemasyarakatan seperti ini,” katanya.

Katanya lagi, penganjuran program itu turut bertujuan mendorong siswa mendekatkan diri dengan komuniti setempat selain bertukar ilmu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 3:35 AM