Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Lima rekaan, lima warna dan lima ukuran jubah serta kurta DFZ Royale oleh Razman Razmi ditampilkan secara eksklusif di pentas peragaan pada majlis pelancaran yang diadakan baru-baru ini. Barisan model yang menggayakan himpunan ini kelihatan cukup menyerlah menerusi rona pastel dan terang yang menjadi pilihan pereka.

Menurut Pengarah Urusan DFZ Royale Datuk Mohammad Fadil, idea menghasilkan jubah dan kurta tercetus selepas bertemu dengan Razman Razmi dan berbincang mengenai potensi industri fesyen tanah air khususnya busana lelaki.

“Melihat trend semasa khususnya golongan muda yang mementingkan gaya, saya melontarkan idea untuk menampilkan busana mengikut cita rasa masa kini. Tidak sangka idea ini disambut baik Razman Razmi. Ia juga bersesuaian dengan suasana Ramadan dan Syawal yang akan menjelang,” katanya.

Rekaan jubah dan kurta DFZ Royale oleh Razman Razmi adalah koleksi pertama mereka. Melihat kepada himpunan yang pernah dihasilkan sebelum ini Razman banyak menampilkan busana wanita berbanding lelaki. Jadi pelawaan daripada DFZ Royale disambut baik kerana dia ingin mencabar kreativitinya sebagai pereka.

“Menghasilkan busana lelaki ada juga cabarannya. Terutama daripada segi potongan bersesuaian bentuk badan. Lagipun, di pasaran terdapat banyak rekaan jubah dan kurta oleh itu saya perlu menampilkan kelainan untuk pelanggan,” katanya.

Bagi menghasilkan jubah dan kurta berkualiti, pemilihan fabrik adalah sangat penting. Memilih fabrik kapas kerana menyerap peluh dan sejuk Razman berharap jubah dan kurta yang dihasilkan mampu menjadi pilihan penggayaan anak muda pada pagi Syawal.

Untuk memberikan kelainan kurta diberikan nafas segar menerusi potongan mengikut

bentuk badan. Ada dipotong sama dan juga secara menyerong bagi menampakkan nilai eksklusifnya. Untuk tampak lebih kemas zip dan butang diletakkan pada bahagian depan manakala perincian tampalan kain berbeza diletakkan pada atas poket dan leher bagi memberikan nilai tambahan kepada busana.

Bersempena pelancaran jubah dan kurta, turut dihebahkan adalah Instagram dan laman sesawang DFZ Royale. Semua koleksi ini boleh dimiliki menerusi dalam talian, stokis dan ejen serta di butik fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 3:33 AM