ANAK yatim yang diraikan.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Senyuman manis dihadiahkan Puteri Teratai Mohd Nor, 9, kepada penulis sebelum memulakan perbualan menzahirkan keseronokannya menerima penghargaan dan sumbangan sempena kedatangan Aidilfitri, Ahad ini.

Ditemani adiknya, Putera Budiman, Puteri Teratai berkata bapanya sudah meninggal dunia dan kehidupan mereka dua beradik bergantung kepada pendapatan ibunya.

Dua beradik yang menetap di Flat Sri Johor, Cheras ini antara 100 anak yatim yang diraikan dalam program Moreh/Sahur dan Penyerahan Sumbangan Anak-Anak Yatim 2017 anjuran Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi (Srikandi Malaysia) baru-baru ini.

Menerima sumbangan berbentuk hamper, baju raya dan duit raya, Puteri Teratai menganggap bantuan itu sebagai hadiah buatnya untuk merasai kemeriahan hari raya.

Manakala pasangan kembar 13 tahun, Muhamamd Hakimi dan Muhammad Hamka Mohd Zin mengakui tahun ini adalah tahun kedua mereka menerima sumbangan daripada Srikandi Malaysia.

“Ayah meninggal dunia sejak enam tahun yang lalu, jadi abang, kakak serta ibu yang bekerja di kantin menanggung keluarga saya.

“Hari ini (Sabtu lalu) kami bukan saja berbuka puasa di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), bahkan moreh. Kesempatan ini, memberi ruang kepada saya untuk berkenalan dengan lebih ramai rakan senasib yang lain,” kata Muhammad Hakimi.

Presiden Srikandi Malaysia Datuk Norashikin Abd Ghani berkata penganjuran program amal kali kelima ini menerima sambutan menggalakkan daripada orang perseorangan, syarikat korporat serta agensi kerajaan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Objektif penganjuran program ini untuk meraikan anak yatim yang kurang bernasib baik dengan membabitkan penglibatan golongan selebriti.

“Saya bersyukur apabila program amal ini menerima respon positif daripada orang ramai dan sanggup memberi tajaan. Pastinya kemurahan hati penyumbang dapat memberi manfaat kepada 100 anak yatim ini.

“Anak yatim yang diraikan ini tidak mewakili mana-mana rumah kebajikan, sebaliknya pasukan Srikandi Malaysia turun padang dan mengenalpasti golongan yang memerlukan bantuan ini sejak dua bulan yang lalu.

“Melihat kegembiraan di wajah anak ini membuatkan kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan program amal ini pada tahun yang akan datang,” katanya ketika ditemui.

Katanya lagi, beliau berharap lebih ramai badan korporat dan orang perseorangan dapat menyokong program seperti ini sekali gus merasai sedikit kesusahan dialami golongan anak yatim.

Program yang bermula jam 9 malam di Jalan TAR turut dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dan dimeriahkan lagi kehadiran penaja serta selebriti tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 3:28 AM