WANITA turut menyertai tadarus al-Quran sempena Nuzul al-Quran.

Lebih 700 saudara Muslim berketurunan Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Indonesia dan Filipina menyertai tadarus al-Quran sempena Nuzul al-Quran, baru-baru ini.

Program anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) diadakan di Masjid Wilayah, Jalan Sultan Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Menjadi kelaziman PERKIM pada Ramadan untuk menganjurkan program berkenaan dan memilih hari Nuzul al-Quran sempena memperingati hari turunnya kalam Allah itu.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Dr Yusof Noor berkata, orang Melayu turut menyertai pogram berkenaan membabitkan peserta dari Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Peserta dibahagikan kepada 30 kumpulan yang diketuai oleh munabbih ditugaskan memperbetulkan bacaan peserta dari segi huruf, makhraj dan tajwid bagi setiap kumpulan.

“Setiap peserta diberi peluang untuk membaca beberapa helai muka surat sekaligus mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran di majlis berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, antara tujuan lain program itu ialah untuk menghidupkan Ramadan yang penuh keberkatan di samping berkenalan dengan muslim serta saudara baru.

“Rugi jika sepanjang berpuasa kita tidak banyak berdoa. Sedangkan doa orang yang sedang berpuasa itu dimakbulkan Allah.

“Kita perlu bersungguh-sungguh dalam mengejar ganjaran pahala ini seolah-olah ini tahun terakhir kita menyambut Ramadan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 3:25 AM