THANGARAJOO melihat karyanya yang dipamerkan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Melangkah masuk ke Lobi Galeri Balai Seni Visual Negara (BSVN), pandangan penonton pasti terpukau melihat 44 karya pameran solo kali ketiga K Thangarajoo.

Ini kerana hasil kerja seni lukisan abstrak pada pameran Atomic Consciousness yang cukup terperinci, kemas dan cantik sudah tentunya mengujakan sesiapa saja melihatnya.

Lebih mengagumkan semua karya dihasilkan hanya menggunakan tangan dan tanpa barangan lain seperti pembaris.

Thangarajoo berkata, beliau tidak membuat sebarang lakaran awal untuk melukis bulatan zarah atom yang menjadi motif lukisan berkenaan.

“Semua lukisan berkenaan dihasilkan selama setahun menggunakan medium gabungan pastel dan akrilik.

“Corak abstrak ini menggunakan pen minyak kerana seni dihasilkan lebih halus berbanding medium lain,” katanya.

Katanya, karya seni abstrak dihasilkannya membabitkan motif zarah atom yang kadangkala zarah itu hadir dalam bentuk bulat dan ada kalanya bertukar kepada gelombang (cahaya).

“Lukisan abstrak sukar difahami jika tiada penghayatan, ia perlu diselami untuk mendapatkan maksud tersirat di sebalik corak lukisan berkenaan.

“Pameran terbaru ini lebih menyentuh kepada pengalaman kehidupan saya sejak 60 tahun lalu terutama insiden terjatuh air terjun di Rawan pada 1984,”katanya.

Menurutnya, pameran itu adalah kesinambungan daripada pameran The Pulse of Creation yang berlangsung selama sebulan pada Januari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 3:53 AM