AMIRA menunjukkan sebahagian daripada koleksi Pameran Seni Jilid Islam.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Pameran Seni Jilid Islam 2017 dianggap unik kerana bukan saja mempamerkan 70 artifak yang menonjolkan elemen penting penjilidan dari serata dunia tetapi juga sebuah artifak pada abad ke- 12 Masihi iaitu al-Quran dari Dinasti Ilkhanid.

Pameran berlangsung 8 Mei lalu hingga 31 Disember depan diadakan di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur.

Jilid bermaksud proses terakhir dalam penulisan buku yang berfungsi melindunginya daripada mengalami kerosakan.

Pengurus projek pameran berkenaan Amira Salleh berkata, antara karya terbaik dipamerkan ialah sepasang kulit buku berlakuer Diraja Qajar dari Iran yang terkenal dengan perinciannya sangat indah, beraneka warna bersama hiasan halus.

“Kulit buku ini menggambarkan Fth ‘Ali Shah Qajar dan anaknya Mohammad Shah Qajar. Ikonologi istanawan ini dihasilkan oleh sekolah lukisan pada zaman pemerintahan Qajar.

“Ia menggambarkan kebergantungan pemerintah awal Qajar terhadap seni lukis potret bagi merakamkan sejarah keturunan dinasti mereka.

“Mereka menempatkan diri di singgahsana bersama-sama raja Iran yang berkuasa dan terkenal,” katanya.

Menurutnya, di pameran berkenaan pengunjung akan didedahkan kepelbagaian teknik hiasan jilidan kulit digunakan seperti tekan timbul, mengecap, menyepuh dan melukis yang selama ini tidak diketahui umum mengenai penjilidan sesuatu buku.

Beliau berkata, terdapat lima elemen pelengkap seni penjilidan iaitu kulit depan, belakang, pelindung bahagian tepi, kepak dan ada jahitan untuk memegang helaian manuskrip.

“Elemen seni Islam berbeza mengikut negara sama ada menggunakan bentuk geometri, bunga, daun, kaligrafi dan figura (orang atau haiwan).

“Seni jilid sentiasa berkembang mengikut peredaran masa tetapi kehalusan seni dan identitinya masih dikekalkan,”katanya.

Amira berkata, keistimewaan lain pada pameran berkenaan ialah terdapat beberapa buku ditemui mempunyai nama penjilid atas buku dan perkara itu sesuatu yang jarang berlaku.

Katanya, selalunya dalam buku hanya terdapat nama pengiluminasi dan penulis kaligrafi saja tetapi identiti penjilid disembunyikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 3:44 AM