MOHD Muzzammil (dua dari kanan) mengagihkan bubur lambuk di Newcastle Halal Store, United Kindgom.

Merasai pengalaman berpuasa di Eropah ketika musim panas memberikan kenangan indah kepada ahli Kelab Bunga Raya United Kingdom (KBRUK).

Walaupun terpaksa berpuasa dalam tempoh lebih panjang selama 19 jam sedikit pun tidak menghalang mereka melakukan aktiviti pemberian bubur lambuk secara percuma kepada rakyat Malaysia di kawasan Newcastle-Durham.

Amalan tradisi unik itu tidak pernah dilupakan meskipun berada jauh ribuan batu dari tanah air mendorong mereka mengambil inisiatif mengadakan Projek Bubur Lambuk Malaysia.

Penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Durham University Mohd Muzzammil Ismail berkata, sekurang-kurangnya dengan program berkenaan dapat mengubat kerinduan penuntut yang tidak dapat menyambut Ramadan bersama keluarga di tanah air.

“Saya bersama enam rakan menggunakan duit poket untuk membeli bahan bubur lambuk yang dimasak secara bergotong-royong.

“Kami menyiapkan 80 bungkusan bubur lambuk dan diagihkan di kawasan tumpuan ramai, Newcastle Halal Stor iaitu tempat utama mendapatkan barangan halal,”katanya.

Katanya, makanan itu tidak diberikan kepada rakyat Malaysia yang menetap di negara itu saja tetapi turut membabitkan penduduk tempatan.

“Tujuan kami mengadakan program ini untuk menonjolkan budaya Malaysia dengan memberikan bubur lambuk selain menghubungkan ukhuwah sesama warga Malaysia yang semakin berkurangan di negara berkenaan.

“Pada masa sama, kami berpeluang menjelaskan kepada masyarakat bukan Islam maklumat ringkas berkaitan Ramadan atas maksud dakwah.

“Ada bertanya bagaimana warga Malaysia berpuasa, malahan ada yang skeptikal apabila dinyatakan bubur lambuk itu diberi percuma,” katanya.

Mohd Muzzammil berkata, penerimaan baik yang ditunjukkan oleh rakyat United Kingdom terhadap program berkenaan menarik minat mereka untuk mengadakannya lagi pada tahun hadapan,”katanya. -Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 3:41 AM