ZAINUDIN (duduk kiri) dan ahli PEKEMA melayan anak yatim memilih baju raya.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Membeli-belah pakaian dan kasut baru adalah sebahagian daripada keseronokan menyambut Syawal bagi kanak-kanak selain mengumpul duit raya apabila berkunjung dari rumah ke rumah. Saat membeli kelengkapan berkenaan adalah waktu yang ditunggu-tunggu mereka kerana mahu memilih sendiri pakaian dan kasut idaman.

Oleh itu, menjelang hari raya ibu bapa insan paling sibuk menyediakan keperluan anak mereka dan keluar membeli-belah. Namun, bagi kanak-kanak yatim piatu atau ditinggalkan keluarga di rumah kebajikan, hanya penjaga yang menjadi pengganti ibu bapa.

Bagaimanapun, tidak semua rumah kebajikan dapat memenuhi permintaan anak jagaan mereka dan lazimnya persediaan menyambut hari raya dibuat secara ala kadar berikutan dana yang terhad. Tiada baju dan kasut baru untuk anak di bawah jagaan kerana apa yang penting keperluan makan dan minum untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bagi memberikan keceriaan kepada kanak-kanak yang tidak bernasib baik, Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) membantu 174 kanak-kanak dari Kariah Masjid Hidayatul Muttaqin, Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras dan Madrasah Tahfiz Miftahul di Selangor membeli-belah persalinan baju raya baru di Pasar Raya Mydin USJ 1, Subang Jaya, baru-baru ini.

Presidennya Datuk Zainudin Abd Rahman berkata, yayasan memperuntukkan belanja antara RM150 hingga RM200 seorang kepada kanak-kanak berkenaan untuk membeli dan memilih sendiri pakaian dan kasut raya menerusi program Ihya Ramadan yang dianjurkan setiap tahun.

“Pihak yayasan mengeluarkan antara RM3 hingga RM4 juta setahun hasil kutipan dana daripada ahli PEKEMA untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membabitkan pelbagai aspek bantuan kepada persatuan, rumah kebajikan, pesakit kronik, mangsa bencana alam dan suntikan modal kepada usahawan.

“Program membeli-belah baju dan kasut raya untuk kanak-kanak adalah acara tahunan yayasan yang memasuki tahun kedua. Sebelum ini kami menganjurkan majlis berbuka puasa untuk anak yatim dan miskin, namun kemeriahannya tidak sama seperti membeli pakaian raya.

“Membeli-belah pakaian baru adalah sebahagian daripada keseronokan menyambut hari raya dan harapannya sangat tinggi bagi setiap kanak-kanak. Oleh itu, kami mahu kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini turut sama merasai kegembiraan membeli kelengkapan hari raya,” katanya.

Zainudin berkata, membeli pakaian raya juga mencipta pengalaman manis ketika kecil yang tidak dapat dilupakan kebanyakan orang sehinggalah dewasa dan beliau sendiri terkenang detik tidak dapat membeli baju raya berikutan berasal dari keluarga susah.

Muhamad Azrie Khairul Faizi, 12, berkata ini adalah kali pertama dia menyambut hari raya tanpa bapa di sisi yang meninggal dunia setahun lalu akibat komplikasi tekanan darah tinggi.

“Selepas ayah tiada, orang lain pula yang temankan beli baju raya dan memang perasaan sangat berbeza apabila membeli baju raya tanpa ayah. Biasanya, kami akan meninjau banyak kedai yang menjual baju raya sebelum membeli.

“Ayah akan memberi pendapat mengenai pakaian yang dipilih termasuk kasut dan songkok. Dia juga suruh pakai sendiri baju yang dipilih kerana mahu saya berdikari,” katanya.

Bagi Ali Safarudin, 10, biarpun masih mempunyai ibu bapa namun keluarganya tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah dan hanya berbelanja ala kadar untuk menyambut hari raya.

“Saya sudah empat tahun tidak dapat baju raya sebab ayah kata dia tiada duit untuk belikan yang baru. Setiap kali raya saya dan adik-beradik akan pakai baju lama, tapi sekarang saya sangat gembira dapat baju raya serta kasut baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 3:16 AM